HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

Pemuda PAS istiqamah pertahan hubungan Muafakat Nasional

 zuhayati

PAS alu-alukan kerjasama yang akan menguntungkan Islam

IPOH – PAS akan terus istiqamah bagi memperkukuhkan dan pertahankan kerjasama antara UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri dengan menyifatkan hubungan termeterai menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bukan sesuatu yang tertutup.

Katanya, demi agenda penyatuan ummah, kerjasama yang bersungguh-sungguh, berjiwa besar dan saling toleransi perlu di antara parti gabungan.

“Sehingga ke saat ini PAS tetap istiqamah untuk memperkukuh MN dan mempertahan PN.

“PAS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak yang akan menguntungkan Islam dan bersikap adil terhadap rundingan bertunjangkan politik Islam dengan penerapan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Mengulas mengenai masa depan PAS dan UMNO berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hafez berkata, PRN berkenaan merupakan medan pertama kemunculan gabungan PAS dan Bersatu dalam PN di Semenanjung Malaysia.

Katanya, meskipun kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN), undian keseluruhan yang diperoleh PN adalah sangat positif terutamanya daripada saluran anak muda.

Tiada ulasan: