HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

Pembangkang bantah polis siasat ucapan dalam Parlimen

(Gambar fail) Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, diminta menyelesaikan isu berhubung tindakan polis menyiasat Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada perbahasan Belanjawan 2022, baru-baru ini.

Perkara terbabit dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang menyifatkan tindakan polis itu bertentangan dengan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen untuk berbahas di Dewan Rakyat.

Katanya, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Perkara 36 (10) mengenai ucapan Ahli Parlimen yang tidak dibenarkan menyentuh perkara termaktub dalam Akta Hasutan dan berkaitan ucapan di mana perkataan yang membangkitkan derhaka dan perasaan melawan terhadap kerajaan.

"Saya menyebut ini kerana semalam, Ahli Parlimen Sepanggar disiasat polis berkaitan ucapan dalam Parlimen, sedangkan ucapan itu tidak dibantah dan Yang Dipertua sendiri tidak membantah. Mengapa hak dan keistimewaan Ahli Parlimen berucap sekarang diremehkan dan dihina dengan satu siasatan polis?

"Kami Ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan polis ini yang seolah-olah menggertak dan mengambil tindakan ala-politik.

"Ini jelas mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang, dan Speaker perlu membuat peraturan polis kena rujuk Yang Dipertua sebelum membuat siasatan," katanya ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab lisan, hari ini.

Semalam, Mohd Azis mengesahkan beliau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan susulan tindakannya menyentuh mengenai MA63 ketika membahaskan Belanjawan 2022, baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara berkenaan bukan saja menyentuh hak dan keistimewaan Ahli Parlimen tetapi juga membabitkan peranan Speaker.

Justeru, beliau meminta kes itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan untuk tindakan lanjut, sekali gus menyifatkan langkah polis itu sebagai menunjukkan satu perkara yang berbahaya kepada Parlimen.

"Apa yang saya lihat, pengambilan tindakan itu seolah-olah ugutan kepada (Ahli Parlimen) Sepanggar, yang menghalang kebebasan Ahli Parlimen sedangkan Parlimen ada cara mengambil tindakannya sendiri.

"Kita tidak guna penguat kuasa luar Parlimen dan apa yang dikatakan Sepanggar itu tidak ada yang menyentuh isu sensitif.

"Saya meminta Speaker campur tangan menyatakan ini ruang Parlimen dan tidak perlu pembabitan orang luar," katanya.

Azhar Azizan dalam maklum balasnya pula berkata, beliau akan memperhalusi hansard ucapan Ahli Parlimen Sepanggar dan mengambil serius isu berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan akan berhubung dengan pihak polis berkenaan isu itu.

Terdahulu, Azhar Azizan memberi ruang untuk Mohd Azis menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku berhubung isu berkenaan.

Mohd Azis menjelaskan, apa yang beliau bangkitkan dalam perbahasan itu ialah menyampaikan perkara dibimbangi rakyat Sabah seperti ditulis dalam media sosial mengenai desakan Sabah perlu meninggalkan Malaysia.

"Saya hanya menyampaikan kebimbangan daripada desakan orang ramai dalam media sosial," katanya.

Tiada ulasan: