KUALA LUMPUR: Rakyat akan membuat keputusan bagi mengadili sikap dan kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, bagi pihak PN, gabungan itu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat serta kepentingan negeri.
"Itu pilihan mereka (enggan berunding dengan BERSATU). Jadi, biarlah rakyat membuat penghakiman berhubung sikap dan kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama," katanya selepas Majlis Malam Mesra Deepavali 2021 Parlimen Gombak, di sini, malam ini.
Mohamed Azmin berkata demikian bagi mengulas beberapa bahagian UMNO di Melaka hari ini yang menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti itu dengan BERSATU dalam menghadapi PRN Melaka 20 November ini.
Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi, selain terdapat beberapa faktor lain menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.
Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, berkata PN sentiasa mengambil sikap terbuka dan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan kerjasama, khususnya dengan parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
"Namun, seperti yang saya tegaskan, sebagai parti politik kita harus membuat persiapan di peringkat akar umbi khususnya pembahagian kerusi, penentuan calon dan jentera pilihan raya.
"Perkara ini perlu diperkemaskan segera yang boleh supaya jentera kita dapat bertindak lebih efektif dan berkesan serta jangan sampai tindakan kita itu menyebabkan rakyat keliru mengenai hala tuju, masa depan negara dan negeri," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerjasama dibentuk pada tahun lalu menerusi gabungan PN menghasilkan banyak kejayaan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi, selain berpandangan kerjasama itu wajar dipertahankan serta diterjemah menerusi tindakan dalam PRN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November ini.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN terbabit ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang),
Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee
(Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok
Mas).– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan