Oleh Hassan Omar
Nor Azman menyampaikan hamper kepada komuniti India sempena perayaan
Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling, hari ini. - Foto
NSTP/Hassan Omar
MELAKA: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sedang menunggu isyarat daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai satu daripada parti komponen PH.
Bagaimanapun, seorang lagi bekas ADUN yang melakukan tindakan sama, tetapi tidak diterima mewakili parti komponen PH dijangka bertanding atas tiket Bebas.
Bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, berkata selain beliau, turut menunggu isyarat berkenaan Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
"Kami sedang menunggu isyarat (daripada Anwar) bila waktu paling sesuai untuk membuat pengumuman penyertaan kami (parti komponen PH) kerana beliau mempunyai pelbagai perkara yang harus dipertimbangkan.
"Bagaimanapun, sudah pasti pengumuman itu akan dibuat sebelum penamaan calon pada 8 November ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada komuniti India sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling di sini, hari ini.
Nor Azman berkata, beliau juga yakin bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilaporkan tidak akan diterima mewakili parti komponen PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berkemungkinan besar bertanding atas tiket Bebas.
"Kami yakin beliau mempunyai harapan amat cerah untuk menang kerana di peringkat akar umbi, anggota komuniti di kawasan itu senang dengannya kerana kuat bekerja dan sering membantu mengatasi masalah rakyat," katanya.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang hari ini dilaporkan berkata, kedudukan tiga bekas ADUN Melaka untuk bertanding atas tiket gabungan PH pada PRN sedang dalam peringkat akhir perbincangan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ketika ini perbincangan lebih menjurus kepada kedudukan tiga bekas ADUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan