HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 November 2021

Umno perlu ingatkan rakyat apakah itu Bersatu, PH – Ahmad Zahid

MALAYSIA POST

Umno perlu ingatkan rakyat apakah itu Bersatu, PH – Ahmad Zahid

TINDAKAN Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyebabkan Umno kini semakin kuat ‘diserang’, dakwa Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keadaan itu membuatkan pendokong parti berkenaan sanggup melancarkan propaganda tidak masuk akal kononnya majoriti ahli Umno mahu bersama Bersatu.

Menurutnya, Umno dituduh tidak dapat bekerjasama dengan mereka disebabkan keegoan kepimpinannya.

“Marah benau (sungguh) pendokong Bersatu kerana Umno tidak bekerjasama dengan mereka pada PRN Melaka.

“Semakin kuat pula merentan serba tidak kena mengata itu dan ini tentang Umno sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini dengan angkuh Bersatu dilapor mahu ‘langgar’ Umno di Melaka, tetapi masih merungut tidak sudah-sudah,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ramai mengetahui keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu seperti dijelaskan sebelum ini adalah keputusan parti seperti ditetapkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 kira-kira lapan bulan.

Beliau berkata, rakyat juga mengerti mengapa Bersatu gelisah begitu teruk disebabkan pendirian dibuat Umno itu.

“Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan kezaliman mereka.

“Berpakat bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH) untuk memfitnah Umno dan pemimpinnya sejak 2016. Bergandingan bersama DAP dan PH menumbangkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan tipu daya.

“Kini perlu berdepan semula dengan Umno dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita. Selepas fitnah yang ditaburkan Bersatu sudah tumpul dan rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri.

“Umno tenang-tenang sahaja. Kita fokus kepada gerak kerja bersama rakyat untuk BN kembali mentadbir Melaka,” katanya.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan jentera Umno ketika ini adalah menerangkan rekod dan kemampuan kerajaan BN memakmurkan rakyat serta negeri Melaka.

“Memperjelaskan segala tohmahan fitnah yang tidak benar dan mengingatkan apakah itu Bersatu dan PH.

“Kita perlu meyakini kebijaksanaan orang Melaka dalam menilai apa yang benar dan terbaik untuk masa depan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: