Menteri Pelajaran, Pengajian Tinggi harus bertaraf Prof, berkelulusan PhD
Oleh Azlan Zainal
Parti Mahasiswa Negara (PMN)
Impak Pilihan Raya Umum ke-12 telas jelas memaparkan kehendak rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan dan seluruh negeri-negeri di Malaysia.
Inilah demokrasi sebenar yang bermaksud kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat. Parti Mahasiswa Negara (PMN) melihat ini adalah merupakan satu trend kematangan rakyat dalam menerima dan memikir masa depan mereka. Ia berlaku di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar samada komposisi penduduknya majoriti Melayu atau Cina.
Jelas, ia juga membuktikan rakyat kebangkitan rakyat untuk memastikan kehidupan mereka tidak terjejas dan diancam dengan faktor-faktor di dalam negara.
Parti Mahasiswa Negara (PMN) berpendapat bahawa kabinet sesi 2004 – 2008 terlalu banyak kelompangan dan kekurangan. Ia bukan hanya krisis moral dan kelemahan mentadbir dikalangan kepimpinan kerajaan malah ia juga disebabkan polisi-polisi yang digubal menekan dan tidak konsisten dalam membela rakyat.
Namun begitu, kemerosotan teruk undian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional masih lagi memberikan peluang sekali lagi kepada YAB Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan bagi penggal kedua.
Walaupun YAB Perdana Menteri menggambarkan bahawa kerajaan masih kuat, tapi bagi kami ia sudah tidak berada pada tahap yang baik dan stabil. Parti Mahasiswa Negara (PMN) juga menyambut baik ketegasan YAB Perdana Menteri untuk melantik menteri-menteri kabinet dikalangan mereka yang boleh bekerja dan mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan berupaya berkhidmat demi negara dengan sebaiknya bagi 5 tahun yang berikutnya.
TUNTUTAN PARTI MAHASISWA NEGARA
Dengan penuh hikmah dan takzimnya, kami menuntut dengan pertimbangan dan kebijaksanaan YAB Perdana Menteri agar membuat kajian yang teliti sebelum melantik anggota kabinet yang baru.
Kami sebulat suara menolak jika terdapat sebarang usaha untuk melantik ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang pernah dikaitkan dengan mana-mana skandal rasuah, masalah disiplin, tidak berintegriti dan tidak mampu untuk tampil sebagai wakil yang berkhidmat mewakili rakyat secara sah.
Kami juga ingin memastikan bahawa YAB Perdana Menteri dapat memilih ahli-ahli Parlimen yang bersederhana hidupnya demi memastikan mereka mengutamakan hak dan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan peribadi.
Di sini, kami juga ingin menegaskan dan mencadangkan bahawa Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran mestilah terdiri daripada menteri yang mempunyai status bertaraf Prof. dan Prof. Madya atau sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan akademik yang bertaraf PhD dan selayaknya untuk duduk di kerusi tersebut.
Ini bagi memastikan menteri tersebut dapat memahami budaya pendidikan dan pembentukan generasi dengan lebih baik dan berkesan kerana berada di dalam lapangan ilmu dan lingkungan intelektual serta seiring dengan falsafah pendidikan negara.
Kami juga berharap Menteri Belia dan Sukan mestilah terdiri daripada seorang menteri yang boleh dijadikan contoh kepada generasi belia terutamanya dari aspek moral, syakhsiyyah, pendidikan, keagamaan dan bertanggungjawab terhadap pembinaan generasi muda.
Beliau juga seharusnya mampu untuk membantu mendidik generasi muda seterusnya berinisiatif dalam memikirkan perubahan bagi mengurangkan lagi kadar jenayah dan kebejatan moral serta sosial di Malaysia.
Oleh itu, atas kesedaran ini sekali lagi kami representasi rakyat Malaysia menuntut agar YAB Perdana Menteri dapat melantik dan menyenaraikan kabinet menteri yang lebih berintegriti, berhemah dan bermoral.
Ini kerana, autoriti para menteri dalam memimpin ini merupakan amanah rakyat yang menunjukkan mandat besar yang perlu dilunaskan dan diterjemahkan sebagai satu realiti.
PEMIMPIN BAIK, SURI TELADAN KEPADA RAKYAT
Ingatlah, sebuah kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat lebih dari kepentingan peribadi.
Menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Malaysia bukan untuk disanjung dan mendapat gelaran Yang Berhormat, Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan sebagainya.
Tetapi, ia adalah amanah yang akan diperhitungkan suatu masa nanti. Jagalah akhlak, etika dan syakhsiyyah sebagai seorang pemimpin kerana ia akan menjadi ikutan dan suri teladan kepada masyarakat. Perlu disedari, pemimpin itu menggambarkan keseluruhan rakyat di bawahnya.
"MAHASISWA BERSAMA RAKYAT"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan