HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Mac 2008

Terengganu : Lantik MB baru sebelum Isnin


KUALA TERENGGANU – Selepas enam hari Terengganu belum mengadakan pelantikan Menteri Besar, akhirnya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memenangi pilihan raya umum ke-12, Sabtu lalu cuba mencari satu jalan penyelesaian. Kira-kira jam 9 malam tadi, mereka telah mengambil keputusan dengan berkumpul di Hotel Primula Beach Resort, di sini, bagi menyatakan sokongan padu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Malah, sempena pertemuan itu juga, ADUN dan Ahli Parlimen berkenaan turut menandatangani surat sokongan kepada Idris yang juga merupakan bekas Menteri Besar Terengganu sejak tahun 2004.

Selain itu, Sinar Harian difahamkan kemelut mengenai calon Menteri Besar dijangka akan diketahui dalam tempoh terdekat ini dan Majlis Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan pula dijangka bakal diadakan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinet baru yang dijangka pada Isnin depan.

Sementara itu, pelbagai desas-desus dan spekulasi mengenai calon Menteri Besar Terengganu yang turut mengaitkan beberapa nama ADUN di Terengganu sebelum ini, secara tidak langsung menjadikan ADUN terbabit berada dalam keadaan ‘rimas’.

:Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan NGO Negeri, Datuk Din Adam berkata, spekulasi yang semakin hangat diperkatakan sekarang tidak seharusnya timbul memandangkan rakyat masih memerlukan Datuk Seri Idris Jusoh.

“Datuk Seri (Idris Jusoh) adalah orang yang paling layak….orang yang mampu mentadbir negeri ke arah yang lebih baik. Sepatutnya tidak timbul perkara-perkara seperti ini dan saya sendiri menyokong penuh kepimpinan beliau. Saya akan memberikan sokongan padu kepadanya bagi meneruskan perjuangan untuk membangunkan negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Din yang memenangi kerusi DUN Bukit Besi dalam pilihan raya kali ini menyifatkan bahawa Idris sebagai 'the most competent' (paling cekap).

Katanya, spekulasi mengenai siapa calon Menteri Besar Terengganu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengakibatkan lebih banyak tekanan, selain beliau turut mengharapkan Idris terus diberi peluang untuk mengekalkan jawatannya.

Manakala bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Ahmad Said yang turut dikaitkan sebagai salah seorang calon MB ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau yang memenangi kerusi DUN Kijal baru-baru ini sebaliknya berkata, “Tiada sebarang ulasan setakat ini. Itu hanya spekulasi semata-mata,” ujarnya.

Desas-desus dan spekulasi mengenai siapa calon MB Terengganu mula diperkatakan ramai sejak Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sepatutnya diadakan pada Isnin lalu ditangguh, menyebabkan kedudukan sebenar jawatan Menteri Besar Terengganu untuk penggal ini terus menimbulkan persoalan.

Malah, desas-desus mengenai Datuk Seri Idris Jusoh tidak lagi meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar turut mendapat perhatian ramai, apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada istana.

Pada pilihan raya umum Sabtu lalu, BN berjaya memenangi 24 kerusi daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan di Terengganu manakala lapan lagi berjaya dikuasai Pas.

BN juga berjaya mengekalkan tujuh kerusi Parlimen manakala Pas pula hanya menang di Parlimen Marang yang diperoleh melalui calonnya iaitu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga merupakan Presiden Pas.

Tiada ulasan: