BPR Sarawak siasat dakwaan politik wang semasa kempen
KUCHING: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang dalam proses mengumpul maklumat mengenai dakwaan memancing undi dengan menggunakan sogokan wang semasa tempoh berkempen bagi pilihan raya Parlimen di Sarawak pada awal bulan ini.
Enggan menyatakan kawasan Parlimen berkenaan, Pengarah BPR Sarawak Mohamad Yusoff Akope berkata, BPR sedang menyiasat dakwaan tersebut hasil maklumat orang ramai.
"Ada dua, tiga kes. Kita sekarang tengah mengumpul maklumat dan jika ada bukti kita akan jalankan siasatan lebih mendalam. Buat masa ini saya tak boleh beri penjelasan terperinci kerana kita mahu tahu sama ada dakwaan itu sahih atau tidak," katanya kepada Bernama di sini pada hari Rabu.
Beliau berkata kebanyakan maklumat yang diterima ialah melalui surat layang dan panggilan telefon. Pada pilihan raya Parlimen yang berlangsung pada 8 Mac lalu, sebanyak 31 kerusi Parlimen dipertandingkan di Sarawak dengan Barisan Nasional (BN) negeri memenangi 30 kerusi dan parti pembangkang DAP memenangi satu kerusi. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan