HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 April 2008

Belanja mewah: BPR mula siasat yayasan sukan wanita


PUTRAJAYA - Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatan berhubung pendedahan perbelanjaan mewah oleh Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Kita sudah hantar pegawai untuk siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kota Kinabalu di sini hari ini.

Akhbar The Sun antara lain mempersoalkan perbelanjaan WSFFM yang memperoleh geran tahunan daripada kerajaan bagi tujuan hiburan dan acara yang mencecah RM1.4 juta.

Perbelanjaan lain WSFFM ialah pelancongan dan pengangkutan sebanyak RM858,000, pengiklanan dan media RM932,000 serta percetakan dan alat tulis RM710,000.

Peruntukan tahunan kepada yayasan diberikan semasa Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Pengerusi WSFFM menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif WSFFM, Dr. S. S. Hamala berkata, Azalina tiada kaitan langsung dengan pengurusan perbelanjaan itu.

Tegasnya, Azalina tidak ambil satu sen pun daripada peruntukan itu.

Jelasnya, terdapat satu jawatankuasa induk khas yang menapis tender dan mengaudit akaun yayasan.

"Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 29 Januari lalu, sebanyak 196 ahli telah bersetuju dengan penggunaan wang tersebut selepas penjelasan diberikan oleh ahli jawatankuasa itu.

"Mereka yang tidak menghadirinya pasti musykil bagaimana wang itu digunakan.
Malangnya, wartawan yang menulis artikel itu tidak pernah menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Tiada ulasan: