HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 April 2008

Cadangan UMNO Johor berjangkit ke Perak
Agendadaily


Pertemuan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Malaysia dengan Jawatankuasa UMNO Bahagian seluruh Perak menyaksikan cadangan supaya Perdana Menteri menyediakan pelan peralihan kuasa menjadi isu utama yang dibangkitkan.

Rata-rata pimpinan UMNO Bahagian yang hadir menyifatkan prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu memerlukan parti mengambil pendekatan dan langkah lebih berani bagi memastikan UMNO mendapat semula sokongan rakyat.

Mereka menyuarakan sokongan mereka kepada kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pelan peralihan kuasa dibuat dan mahukan agar ia dibuat dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli UMNO.

Selain isu berkenaan, ada juga pandangan yang meminta Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali turut mengambil langkah mengundurkan diri bagi memberikan peluang kepada muka baru untuk memulihkan UMNO negeri itu.

Menurut mereka yang hadir ketika dihubungi menyatkan, perjumpaan tersebut berjalan dengan baik cuma ada sedikit kekecohan apabila ada kenyataan yang bersifat ‘menyerang’ ketua UMNO Bahagian secara umum.

Dalam pada isu peralihan kuasa dibangkitkan, seorang Ketua UMNO Bahagian memberikan pandangan bahawa peralihan kuasa bukanlah satu jawapan yang dapat menyelesaikan masalah yang melanda parti sekarang.

Malah, jika orang baru mengambil alih kepimpinan, mereka yang mencadangkan peralihan kuasa ini juga akan turut menimbulkan isu yang sama dengan 'menggoncang' kedudukan pemimpin yang baru itu pula.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar UMNO di semua peringkat bermula daripada cawangan mengambil langkah dan usaha untuk memantapkan semula gerak kerja parti.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak difahamkan dalam ucapannya menyatakan tumpuan harus diberikan untuk mengukuhkan semula sokongan kepada parti.

Dilaporkan, Najib memberikan jaminan segala pandangan yang diberikan akan diambil serius oleh pihak pengurusan parti dalam menyediakan cadangan-cadangan kearah mengukuhkan semula parti.

Beliau juga meminta seluruh ahli parti khususnya pimpinan UMNO Bahagian merapatkan barisan dan sama-sama menagmbil tanggungjawab untuk memulihkan parti.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Naib Presiden, Datuk Mohd Ali Rustam, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishamuudin Hussein, Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz, Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Agung, Datuk Azim Zabidi dan Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Tiada ulasan: