JKKK Persekutuan : 35 Juta Wang Rakyat Mungkin Dibazirkan di Kedah
Oleh sulaiman
"Utusan Malaysia melaporkan bahawa semua 1,938 anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya daripada UMNO diarah meletak jawatan berkuatkuasa semalam (1/04/08) ekoran kekalahan Barisan Nasional di negeri itu dalam pilihan raya 8 Mac lepas.
Bagaimanapun mulai semalam juga semua JKKK tersebut akan dilantik sebagai JKKK Persekutuan dan mereka akan ditauliahkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu. Mahdzir, yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah, berkata peranan dan tugas JKKK Persekutuan adalah sama seperti tugas JKKK negeri.
Kenyataan dan tindakan politik bekas MB Kedah ini hanya akan membawa banyak kemudaratan kepada negeri dan masyarakat Kedah.
Ini kerana :-
1) Perlantikan dua JKKK di kampung yang mempunyai peranan yang sama akan membazirkan wang rakyat. Ini kerana jika hanya elaun RM400.00 sebulan, sebanyak RM 35 juta akan dibelanjakan untuk tempoh empat tahun bagi membayar elaun hampir 2000 orang JKKK ini. Pembaziran akan berlaku kerana JKKK Persekutuan akan berperanan sama seperti JKKK Negeri.
2) Orang Melayu dari kelompok PAS dan kelompok UMNO akan selamanya bergaduh dan berkelahi kerana dipimpin oleh dua organisasi berbeza. Adakah JKKK Persekutuan akan memainkan peranan sebagai agen UMNO dan menyebabkan berlakunya suasana tidak harmoni didalam kampung ? Adakah JKKK UMNO akan terus mengunguli kemudahan kerajaan yang disediakan di bawah KPLB ?
Sebagai bekas MB Kedah, Mahdzir wajar memikirkan semula cadangan ini. Rata-rata di Kedah, tidak berlaku perpecahan yang ketara akibat perbezaan fahaman politik UMNO dan PAS. Jika orang PAS boleh bekerjasama dengan kaum Tionghua, mereka tiada masalah berkerjasama dengan Melayu UMNO.
Penubuhan JKKK Persekutuan ini akan membawa masalah perpecahan dalam masyarakat kampung di Kedah. Mungkin akan sentiasa wujud perkelahian sesama mayarakat kampung disebabkan oleh percaturan politik yang singkat ini. Tolonglah baiki UMNO daripada mewujudkan JKKK yang akan memudaratkan masyarakat kampung. Selama ini, semua orang kampung dapat menerima JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri Kedah tidak kiralah ia adalah lantikan politik ataupun lantikan kerajaan.
Kita berharap tindakan tidak munasabah yg dilakukan hanya semata-mata demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional haruslah difikirkan semula. Kami, penduduk Kedah bukanlah memusuhi rakan-rakan daripada UMNO tetapi kami menolak UMNO kerana pemimpin UMNO kini lebih mementingkan perjuangan'perut' (Fuad Zarkashi) daripada menjuangkan bangsa dan agama. Majoriti penduduk Kedah lebih berminat untuk bekerja memajukan diri dan tanah air daripada sepanjang masa berkelahi kerana perbezaan fahaman politik. Pulihkan UMNO dengan membuang jauh-jauh pemimpin yang mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme. Daripada sibuk mengadakan JKKK Persekutuan yang akan memecahkan belahkan perpaduan masyarakat kampung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan