HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 April 2008

Mahathir tuduh Khairy punca ramai 'calon penting' tidak bertanding
Wan Nordin Wan Yaacob


PETALING JAYA (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini secara terbuka menyerang sikap menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang dikatakan campur tangan dalam urusan pentadbiran negara dan pemilihan calon-calon Umno dalam pilihan raya lalu.

Dr Mahathir dalam ucapan sempena program Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang diadakan di Hotel Singahsana hari ini menuduh menantu perdana menteri itu mempengaruhi pemilihan senarai calon-calon Umno/BN menjelang hari penamaan calon akhir Februari lalu.

"Siapa yang tukar (nama calon)? Siapa yang duduk bilik sebelah?" katanya, dengan melambangkan secara sinis naib Ketua Pemuda Umno itu sebagai penasihat di istana "duli yang maha mulia sultan (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) shah".

Dr Mahathir berkata akibat campur tangan Khairy itu, ramai calon penting Umno tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya 8 Mac lalu.

Kedudukan mereka yang pernah menang itu digantikan dengan muka baru yang akhirnya kalah kepada calon-calon pembangkang, kata Mahathir dengan nada yang kecewa.

"Ramai jaguh-jaguh Umno tidak dapat bertanding, orang baru diberikan tempat."

"Inilah reformasi baru ala KJ( Khairy)," katanya, disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 2000 hadirin.

Bekas Perdana Menteri itu berucap selepas forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian', anjuran kumpulan penyokong parti itu MyKmu.net.

Hadir sama ialah, anak bekas Perdana Menteri, Dato' Mukriz Mahathir; bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo; Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi; Tan Sri Sanusi Junid; Dato' Mohd Khalid Yunus; Dato' Hassan Ahmad; Dato' Rejal Arbee, Marina Mahathir dan kira-kira 2000 penonton.

Tiada ulasan: