HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 April 2008

Naib Presiden LDP isytihar keluar parti


TAWAU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Yun Fah bersama lebih 1,000 anggota parti itu mengisytiharkan keluar dari parti berkenaan hari ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah yang menerima surat penggantungannya daripada LDP atas dakwaan mensabotaj parti itu pada pilihan raya umum baru-baru ini berkata beliau dan penyokongnya akan menyertai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN).

Selain Liew yang juga Ketua LDP Bahagian Merotai, turut meninggalkan parti itu ialah ketua LDP bahagian Balung Raymond Sia, naib ketua pemuda LDP pusat Vun Nyuk On dan bekas naib presiden LDP Datuk Sia Hiong Lay.

Dengan pengisytiharan itu, secara tidak langsung LDP Bahagian Merotai dan Balung dibubarkan kerana semua ahli jawatankuasanya melepaskan jawatan dan keluar daripada LDP.

"Buang masa sahaja menunggu lebih lama di dalam LDP," kata Liew kepada pemberita di kediamannya di sini hari hari ini.

Mengenai parti yang bakal disertainya, Liew berkata ia belum ditentukan namun tidak menolak kemungkinan untuk menyertai parti yang ditubuhkan di Semenanjung.

"Saya akui pernah menemui Timbalan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP)," kata Liew.

Pada masa ini, selain Umno, parti lain dari Semenanjung yang sudah bertapak di Sabah ialah MCA, MIC, Gerakan, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). BERNAMA

Tiada ulasan: