Pelbagai pihak sambut baik penubuhan Pakatan Rakyat
Roy Rasul
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penubuhan Pakatan Rakyat oleh tiga parti pembangkang utama PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP semalam disambut baik oleh semua sayap parti.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata, Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga pucuk pimpinan tersebut iaitu, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, sebagai wadah baru perpaduan rakyat.
Katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini, rakyat mahu melihat perubahan ke arah yang lebih adil dan berintigriti bagi menggantikan perpaduan rapuh yang dibina oleh Barisan Nasional (BN) yang dakwanya berasaskan kepada kronisme serta moral yang rendah.
Beliau berkata, pakatan rakyat akan lebih berjaya kerana ia berpegang kepada prinsip anti kronisme, perkauman, penindasan dan penyelewengan sebagaimana diperjuangkan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
"Pemuda PAS berharap pakatan itu akan membentuk satu pakatan yang lebih berwibawa dan membawa aspirasi rakyat yang sebenar," katanya.
Penubuhan Pakatan Rakyat dibuat dalam satu perjumpaan di Petaling Jaya, Selangor, semalam yang dihadiri oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.
Dalam perjumpaan tersebut mereka mencadangkan untuk menggabungkan kerjasama antara ketiga-ketiga parti setelah bosan dan jemu dan muak dengan penyelewengan rasuah yang berleluasa, penindasan perkauman yang sempit politik perkauman yang sempit.
Menurut Nasruddin, langkah yang diambil itu adalah positif dan meletakkan satu pakatan dan dimensi baru dalam pakatan rakyat ini.
"Pengalaman lepas mengajar kita bahawa di sana ada banyak perkara yang boleh kita bersama walaupun berbeza serba sedikit ideologi, perjuangan masing-masing.
Namun, katanya dalam semangat menentang kezaliman, rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa seperti penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA), salah laku pemimpin dan juga kezaliman ISA adalah satu benda yang disepakati secara naluri dan berprinsip.
"Kita boleh membentuk satu 'understanding' dalam perkara yang kita sepakati dan kita akan mengamalkan sikap tolak ansur yang mungkin berbeza.
"Pengalaman lepas akan banyak mengajar kita. Bagaimanapun ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip, perjuangan kerana pakatan ini kita wujudkan secara bekerjasama untuk menentang penyelewengan dan seumpamanya
"Ini juga tidak menjadi satu persoalan rumit untuk mewujudkan pakatan yang dibentuk itu," katanya.
Setiausaha Muslimat PAS Pusat, Athirah Al-Jundi berpandangan ia adalah tindakan bijak dan wajar disegerakan.
Bahkan katanya ini adalah bukti betapa seriusnya PAS, KeADILan dan DAP memperbaiki segala kepincangan dan salah urus tadbir negara di bawah kerajaan BN.
"Pakatan Rakyat akan dapat membantu usaha kita untuk memberikan "signal" yang sangat serius bahawa yang menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke 12 adalah rakyat dan yang memerintah lima negeri hari ini di bawah BA adalah kuasa rakyat.
"Seterusnya yang menjadi sasaran kita juga adalah servis khidmat cemerlang kepada seluruh rakyat. Hanya pemimpin berjiwa rakyat akan sentiasa mengutamakan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap, Pakatan Rakyat akan benar-benar mencerminkan kehendak dan kemahuan rakyat tanpa membelakangkan konsep Raja Berperlembagaan, Keluhuran Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, hidup berbudaya dan beragama.
"Rakyat perlu sahut baik Pakatan Rakyat untuk kebaikan mereka supaya semua entiti di dalam parti termasuk sayap pemuda dan wanita (Muslimat) dilibatkan secara menyeluruh dalam usaha mengisi kemenangan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan yang diperintah oleh Barisan Rakyat," katanya semasa dihubungi Harakahdaily.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat adalah suatu peritiwa penting dalam sejarah politik Malaysia lebih-lebih lagi ia memberi satu ruang untuk kewujudan sistem dua parti.
Katanya kepada Harakahdaily, Pakatan Rakyat yang aman akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan parti pembangkang iaitu PAS, KeADILan dan DAP," katanya.
Katanya, ini kerana ia mampu untuk meletakkan agenda yang lebih besar iaitu menjaga kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti politik masing-masing dan kemudiannya menubuhkan satu perintis sebagai pakatan rakyat.
Penubuhan tersebut katanya satu pakatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat bahkan katanya signal yang diberikan dalam pilihan raya yang lalu dapat difahami oleh pimpinan parti-parti pembangkang.
"Oleh itu saya berharap selepas pakatan rakyat ini satu penubuhan parti di atas nama pakatan rakyat diwujudkan.
"Sekarang ini belum ada satu formal parti seperti dalam konteks BN.
"Jadi selepas ini usaha-usaha ke arah itu akan dapat dipercepatkan sebelum pilihan raya akan datang," katanya. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan