HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 April 2008

Polis kenal pasti tiga kumpulan disyaki terbabit kes rompakan kediaman Timbalan Ketua Menteri


MIRI: Polis sudah mengenal pasti tiga kumpulan yang disyaki terbabit dalam kejadian rompakan di rumah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan di Kuching semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mohmad Salleh berkata polis percaya mereka adalah saki baki sebuah kumpulan perompak yang ditumpaskan pihak berkuasa bulan lepas.

Beliau berkata mereka mungkin mengambil anggota baru untuk meneruskan kegiatan jenayah, namun beliau enggan mendedahkan jumlah anggota kumpulan-kumpulan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah yang disertai 233 anggota polis di kem Batalion 12, Pasukan Gerakan Am di sini, beliau berkata anggota kumpulan itu terdiri dari penduduk tempatan dan asing.

Mohmad berkata polis Kuching sudah menggiatkan usaha mengesan semua suspek, di samping meningkatkan langkahlangkah keselamatan di bandar raya ibu negeri Sarawak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi semalam, enam lelaki bersenjatakan parang memecah masuk kediaman Chan di Petra Jaya dan mengikat dua pengawal keselamatan serta pemandunya, sebelum melarikan diri bersama cincin emas, jam tangan Tissot berharga RM1,000 dan wang tunai RM20.

Minggu lepas, rumah dua tingkat milik Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi yang turut didiami anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali di Petra Jaya dirompak sejumlah barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Dalam kejadian September lepas pula, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman mengalami kerugian barang-barang berharga kirakira RM400,000 selepas rumahnya dimasuki perompak.

Sementara itu Mohmad berkata polis benar-benar mengharapakn kerjasama orang ramai untuk memainkan peranan mereka, dengan menghubungi polis sekiranya mereka terlihat orang yang berkelakuan mencurigakan.

Beliau berkata orang ramai boleh menyampaikan maklumat kepada bilik operasi polis dengan menelefon O8-2224455 atau 999. BERNAMA

Tiada ulasan: