Projek kereta api laju: Kerajaan tiada sebarang keputusan
KEPALA BATAS: Kerajaan tiada sebarang keputusan mengenai projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang bernilai RM8 bilion, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau berkata perkara itu sebaiknya diputuskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) kerana badan itu sahaja yang boleh memberikan jawapan tepat.
"Setakat ini tiada sebarang keputusan tentang itu. Projek itu tidak wujud," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada 134 keluarga mangsa ribut, Khamis lepas.
Akhbar pada hari Ahad melaporkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membantah projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura kerana ia didapati merugikan.
Sabtu lalu, Pengarah Urusan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh berkata pihaknya yakin projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura apabila siap kelak boleh menjimatkan penggunaan petrol dan juga subsidi ke atas bahan api.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata kerajaan juga sedang berusaha untuk mencari mekanisme bagi membendung isu inflasi di negara ini.
"Kerajaan sedar tentang pentingnya untuk membendung inflasi dan satu mekanisme untuk jangka panjang dan jangka pendek perlu diberi perhatian," katanya.
Beliau berkata dalam situasi ekonomi dunia tidak menentu khususnya yang berlaku di Amerika Syarikat, Malaysia masih berada dalam keadaan selamat kerana tidak terlalu bergantung kepada negara itu.
"Tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia juga ada membuat hubungan dagang dengan beberapa negara lain jadi kita masih ada kelebihan sekiranya Amerika Syarikat dilanda krisis ekonomi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nor Mohamed berkata beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan Umno pada Disember ini.
Ditanya sekiranya dicalonkan untuk bertanding, beliau berkata:"Saya akan tolak. Saya tidak akan bertanding". BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan