Saya bersih, kata Khir Toyo
Oleh SA'ODAH ELIAS
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau bersih dan tidak pernah rasa bersalah dalam sebarang tindak tanduknya sepanjang dua penggal memegang jawatan itu.
Beliau mencabar mana-mana pihak, termasuk menteri besar Selangor yang baru Tan Sri Khalid Ibrahim membuktikan beliau telah melakukan sebarang kesilapan.
"Siasatlah saya dari bawah sampai atas," katanya pada forum Umno Pasca Pilihan Raya ke-12, Satu Analisis anjuran laman web mykmu.net Selasa.
Katanya, segala projek yang dilaksanakan beliau semasa memegang jawatan itu telah dipantau pihak-pihak yang berwajib termasuk Badan Pencegah Rasuah.
Ini, katanya, termasuk pembinaan rumah untuk Exco-exco kerajaan negeri penggal yang lalu yang merupakan satu eset negeri yang bernilai tinggi.
Beliau juga meminta ahli-ahli Umno jangan hanya mendengar cakap orang tanpa usul periksa kerana memang mudah untuk orang mengatakan bermacam perkara mengenai beliau, tetapi semuanya tanpa dikuatkan dengan bukti.
Dr Mohd Khir yang mengetengahkan cadangan agar satu pembaharuan dilakukan di dalam Umno juga berkata beliau meletakkan jawatan sebagai ketua perhubungan Umno dan Barisan Nasional Selangor bagi menjaga nama orang Melayu.
"Presiden MCA (Datuk Seri Ong Ka Ting) tidak terima jawatan Kabinet sebagai menerima tanggungjawab pencapaian buruk pada pilihan raya lalu, Pemangku Presiden Gerakan tawar letak jawatan, saya kena jaga nama orang Melayu dan letak jawatan," katanya.
Selain beliau, ahli panel lain pada forum lebih empat jam itu ialah ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir dan ketua penerangan Umno Johor dan ahli Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau juga berkata sudah sampai masanya pemimpin tertinggi negara bertindak segera bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
"Jangan hanya kata 'point taken' apabila diberitahu tentang sebarang masalah. Kita tidak boleh biarkan lagi masalah-masalah yang melanda negara ditangani secara ad hoc.
"Kita perlukan dasar baru yang boleh memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat dan dengan itu saya sangat setuju jika diadakan satu reform di dalam Umno," katanya yang juga ahli majlis tertinggi (MT).
Ditanya sama ada Khairy Jamaluddin mempunyai pengaruh dalam menentukan calon di Selangor, Dr Mohd Khir mengakui bahawa memang ada pengaruh daripada pihak tertentu dalam menentukan senarai mutakhir calon Barisan Nasional Selangor pada pilihan raya yang lalu.
Dr Mohd Puad pula menyeru ahli Umno agar berhenti berpura-pura.
"Mengapa sukar sangat untuk kita lihat kekurangan dalam kepimpinan parti kita yang orang lain semua sudah nampak? Kita tuntut diadakan mesuarat agung luar biasa. Dengan menyatakan tuntutan kita dengan berani sahaja kita boleh hadapi dan atasi masalah," katanya.
Katanya, jika ahli Umno terus membenarkan diri mereka diberi rasuah politik, selama itulah mereka akan meletakkan orang yang tidak sesuai memimpin parti dan negara.
Di tanya pemberita selepas forum itu sama ada beliau menyokong cadangan agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan, Dr Mohd Puad berkata, beliau secara peribadi berpendapat Abdullah patut mengundur diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan