Seorang maut, 31 cedera, bas ekspress terbalik di Seremban
SEREMBAN: Seorang maut, 31 lagi cedera dengan 20 daripadanya parah, apabila sebuah bas ekspres terbalik di KM 264, Lebuhraya Utara Selatan berdekatan plaza tol Seremban, di sini awal pagi, Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Khairul Azuwan Ibrahim berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika bas yang membawa 32 penumpang itu dalam perjalanan dari selatan ke Kuala Lumpur.
Katanya penumpang yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abdul Rahman Sabri, 30an dari Ulu Tiram, Johor.
Bagaimanapun identiti kesemua penumpang yang lain belum dikenal pasti, katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata kesemua mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
Khairul berkata sebanyak dua buah jentera bomba dan penyelamat dengan 18 anggota dari Seremban dan Seremban 2 telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
"Semasa pasukan kita sampai ke tempat kejadian, lima orang termasuk pemandu bas tersepit dan kita berjaya mengeluarkan mereka, manakala penumpang lain ada yang menyelamatkan diri mereka sendiri dan ada juga yang diselamatkan oleh orang awam," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan