HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Isu Pengarah Jaip,Pemuda PAS Perak mempertahankan tindakan MB
Johari Jaafar


IPOH (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Perak mempertahankan keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Dato' Jamry Sury bertukar ke jabatan lain dalam tempoh 24 jam.

Pendirian itu dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Perak melalui Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Mustafa Abdul Wahab, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di sini hari ini.

Menurut beliau, Pengarah Jaip itu telah pun diberikan tempoh 40 hari untuk memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Raktyat Negeri Perak yang dianggotai DAP, KeADILan dan PAS.

Akan tetapi malangnya Pengarah Jaip itu gagal untuk memberikan kerjasama yang sepatutnya kepada kerajaan negeri yang baru.

"Oleh itu, tidak timbul isu diarahkan bertukar dalam masa 24 jam kerana Dato' Jamry telahpun diberikan tempoh 40 hari untuk memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Perak yang baru,"jelasnya lagi.

Hari ini akhbar akhbar arus perdana menyiarkan berita Pengarah Jaip itu telah diarahkan bertukar dalam masa 24 jam ke jabatan lain oleh Menteri Besar Perak.

Arahan itu dikatakan dikeluarkan oleh Menteri Besar Perak selepas memanggil Dato' Jamry ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan kira kira jam 8.00 semalam.

Difahamkan juga Pengarah Jaip itu telahpun mengosongkan pejabatnya pagi semalam selepas didakwa tidak memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.

"Dato' Jamry sepatutnya tidak terpengaruh dengan politik kepartian, tetapi sebagai penjawat awam yang mempunyai kedudukan yang tinggi wajar memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri walau parti mana yang menjadi kerajaan," katanya.

Menurut Mustafa lagi, Dato' Jamry sebagai seorang pengarah tentu faham dengan Perintah Am (B) dan semestinya beliau menghormati Perintah Am (B) itu.

"Jika Dato' Jamry tidak mahu bekerjasama dan `mempertahankan ideologi politiknya sendiri, beliau perlu meletakkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya di mana-mana kawasan Dun atau Parlimen di negeri ini," ujar beliau.

Justeru itu, beliau meminta Dato' Jamry tidak membuat publisiti murahan dengan `memperalatkan' akhbar-akhbar cetak dan elektronik arus perdana yang seolah-olah mahu merosakkan imej Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak. - mks.

Tiada ulasan: