HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 April 2008

Teras kecam MCA yang mahu orang Islam boleh keluar Islam tanpa sekatan
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dalam satu kenyataannya semalam membantah keras kenyataan Presiden MCA, Dato' Seri Ong Ka Ting yang menyatakan kerajaan perlu membenarkan warga Islam keluar dari Islam tanpa apa-apa sekatan.

Walaupun kerajaan memutuskan untuk mereka yang masuk Islam perlu mengistiharkannya secara umum , ini tidakbermakna pula orang Islam keluar dari Islam boleh dilakukan tanpa sekatan, kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Dalam hal ini sudah tentu peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan enakmen kerajaan negeri mengenai murtad perlu digunapakai, katanya.

"MCA dan pihak-pihak yang ghairah mahu murtad dibenarkan dalam negara ini tidak boleh mengenepikan peruntukan undang-undang negeri yang tidak boleh membenarkan orang Islam dengan sewewenangnya murtad.

Alasan bahawa orang Islam dibenarkan keluar Islam tanpa sekatan tidak boleh diguna kerana ugama Islam mempunyai perundangannya sendiri mengenai murtad, katanya.

"Teras tidak dapat menerima secara simplistik dan mudah MCA dan pihak yang lain mahu saranan kerajaan itu dijadikan alasan untuk kesempatan mereka menghidupkan semula tuntutan untuk negara ini membolehkan sesiapa sahaja bebas murtad murtad," katanya.

Teras mengingatkan semua pihak supaya jangan gopoh mencari kesempatan untuk menyentuh urusan agama Islam terutama soal murtad, katanya .

"Mereka yang tidak memahami perundangan Islam dalam hal murtad tidak boleh dengan sesuka hati mengguna alasan logik hanya kerana mahu alasan yang sama diguna untuk orang bukan Islam dan orang Islam bertukar agama tanpa ikatan kepada undang-undang syariah," tegas Azmi.

Tiada ulasan: