HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 April 2008

Tuduahn Periasamy Tidak Berasas – Nurul izzah


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata pihaknya bersiap-sedia untuk melawan petisyen pilihanraya calon Bebas, N Periasamy, yang tumpas dalam PRU12 lalu.

Kata beliau, tuduhan yang dibuat bekas pemimpin MIC Bukit Bintang tidak berasas kerana sepanjang tempoh pilihanraya berlangsung beliau tidak membuang masa untuk memfitnah atau memburukkan calon bebas itu.

“Saya tidak pernah buat sebarang dakwaan mengenai beliau, tambahan pula saya tidak pernah memberi sebarang komen kecuali pada hari penamaan calon (24 Februari) dimana saya membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding di Lembah Pantai,” kata pemimpin wanita itu.

N Periasamy yang kalah dalam PRU12 lalu merancang untuk memfailkan petisyen pilihanraya untuk melucutkan status Ahli Parlimen yang disandang Nuzul Izzah. Beliau membuat kenyataan itu pada 25 Mac lalu.

Selain dari Nurul Izzah, Periasamy juga mendakwa beliau difitnah oleh Ketua Umum KeADILAn Anwar Ibrahim dan editor Malaysia-Today, Raja Petra Raja Kamarudin.

Dalam pilihanraya lalu, Periasamy sekadar mengutip 489 undi, manakala Nurul Izzah meraih 21,728 undi.

“Jadi pada saya jelas, dan saya telah berbincang dengan pihak peguam, jika benar wujud tindakan bermotif jahat ini, saya akan lawan,” kata Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian dalam rangka lawatan kerja beliau melawat dan mengenali warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Lembah Pantai pada 27 Mac lalu.

Pertemuan tersebut adalah bagi mengeratkan kerjasama diantara KeADILan dan DBKL untuk membangunkan kawasan Lembah Pantai.

“Pertemuan kali ini adalah lanjutan dari perbincangan Ahli Parlimen Barisan Rakyat pada 25 Mac lepas. Kami berbincang untuk mewujudkan sekretariat bagi Ahli Parlimen parti pembangkang di Kuala Lumpur dan juga akan adakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” jelas Izzah.

Barisan Rakyat memenangi 10 dari 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: