HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 April 2008

Umno sedang ganggu pentadbiran negeri - Abu Bakar Chik
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik mendakwa Umno kini bukan sahaja sedang mengalami perpecahan malah memecahbelahkan masyarakat serta menganggu pentadbiran lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah Jawatankuasa Keselamatan Kampung(JKKK) yang diminta meletakkan jawatan oleh Umno di Kedah.

"Setiap hari ada kenyataan bekas Perdana Menteri menyatakan itu dan ini, kemudian ada bekas Menteri pula kata, bekas Perdana Menteri lebih bahaya, menyebabkan Umno kalah,dijawab pula oleh pimpinan tertinggi Umno, menunjukkan mereka tidak sepakat," katanya kepada Buletin Online.

Menurut beliau, pada masa yang sama juga Umno mengatur langkah memecahbelahkan masyarakat, menganggu kerajaan dinegeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kata beliau gerakan memecahbelahkan masyarakat di kampung-kampung, dipercayai diketuai oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baru, yang juga Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhamad Mohd Taib.

Beliau berkata melalui Kementerian dan Jabatan Pembangunan Luar Bandar, Umno mengatur fitnah secara organisasi menyusahkan pentadbiran di peringkat kampung bagi negeri-negeri di bawah PR.

"Umno akan mengujudkan permasalahan supaya kerajaan negeri dibawah PR dilihat tidak berupaya untuk mentadbir dengan baik," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya Negeri Terengganu.

Beliau yang juga bekas anggota Exco kerajaan Negeri Terengganu berkata, Umno pernah melaksanakan dasar 'jahat' pecah dan perintah di negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah dari tahun 1999 hingga 2004.

"Kelmarin ada laporan ketua-ketua kampung di Selangor dikatakan berikrar menyokong UMNO.

"Sebelum itu, ketua kampung(Penghulu) di Perak dikatakan akan meletakkan jawatan tanpa sebab,dan hari ini di Kedah, semua JKKK dan ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya diarah sama," kata Abu Bakar.

Beliau berkata semua peristiwa yang berlaku bukan berlaku secara kebetulan, bahkan ianya adalah satu perancangan.

Beliau berkata pelantikan JKKK atau apa-apa Jawatankuasa diperingkat kampung adalah dibawah bidangkuasa kerajaan negeri.

Justeru, kata beliau, tindakan Umno Kedah adalah sama sebagaimana tindakan Umno Terengganu dahulu.

Tiada ulasan: