MUTAKHIR
PM jumpa MP Umno, delegasi Perlis pujuk Dr. M
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Perlis mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini bagi membincangkan isu-isu semasa Umno dengan tumpuan dijangka berkisar pada keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti semalam.
Ketika dihubungi mStar Online, Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu, pertemuan dengan Abdullah selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri akan berlangsung pada pukul 3 petang.
“Kita akan membangkitkan banyak isu dan ya sudah tentu, isu terbaru Tun Dr. Mahathir,” kata beliau.
Seluruh Badan Perhubungan Umno Perlis akan menyertai pertemuan itu.Tambah beliau, pertemuan tersebut akan disusuli dengan hasrat pihaknya untuk menemui Dr. Mahathir.
Ketika ditanya sama ada pihaknya akan memujuk Dr. Mahathir menarik balik keputusannya, Shahidan memberitahu: “Buat apa nak pujuk, kita akan meminta beliau jangan keluar parti, jangan keluar parti.”
Kata beliau, usaha sedang dilakukan untuk menemui Dr. Mahathir meskipun bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu (sehingga pukul 1 tengah hari) enggan menerima kunjungan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Abdullah dijadual menemui ahli-ahli Parlimen UMNO di Parlimen tengah hari untuk membincangkan isu berkenaan.
Terdahulu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata: "Tun Mahathir boleh kembali ke Umno pada bila-bila masa."
Bagaimanapun Muhammad berkata, pihaknya belum berhasrat untuk menghantar delegasi mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir dan memujuknya mengubah keputusannya.
Delegasi Badan Perhubungan Umno Perlis dijangka menemui Dr. Mahathir hari ini.
Malah, kata Muhammad, Umno tidak berada dalam krisis sebagaimana diandaikan banyak pihak, dan Umno juga tidak bercadang untuk mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk membincangkan isu berkenaan.
"Semuanya berjalan seperti biasa, memang kami, kawan-kawan akan berbincang tentang perkara ini (keputusan Dr. Mahathir) tetapi belum ada keperluan untuk mesyuarat khusus," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi pagi ini.
Jelas beliau: "Tiada ada pergolakan, tiada pergeseran dalam parti pada hari ini, parti masih kukuh dan mantap."
Ketika ditanya tentang bilangan ahli yang keluar parti, kecuali Dr. Mahathir tiada mana-mana lain yang keluar setakat ini, kata Muhammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.
"Di peringkat Selangor sendiri, tiada siapa yang keluar. Memang semalam selepas mendengar berita ini, ramai yang terkejut, tetapi kemudian mereka memutuskan untuk kekal bersama Umno dan mengukuhkan semula parti," katanya.
Dr. Mahathir yang memegang nombor keahlian '0000001' memutuskan untuk keluar Umno di Alor Star semalam. Turut mengikut langkah beliau ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang memegang nombor keahlian 0000002 dan bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.
Pemimpun veteran Umno dari Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah juga dikatakan memutuskan untuk keluar Umno.
Kata Muhammad, antara individu dan parti, ahli-ahli Umno memilih parti dan menganggap parti lebih penting.
"Mengambil kira sejarah, ramai pemimpin pernah keluar parti sebelum ini, tetapi Umno tetap kukuh," kata beliau dan menambah, Umno sebagai parti utama Barisan Nasional (BN) akan kekal untuk memastikan perpaduan dan kestabilan negara.
Dr. Mahathir, 83, mengumumkan keputusan 'mengejutkan' itu ketika berucap pada majlis bertajuk Kedudukan Orang Melayu Pascapilihan Raya Umum Ke-12 di Alor Star, Kedah pada pukul 12.35 tengah hari semalam.
Dalam ucapannya, Dr. Mahathir yang mempunyai nombor keahlian '01' dalam Umno - selepas Umno diwujudkan semula tahun 1988 - juga menyeru ahli akar umbi supaya keluar parti bagi memberikan tekanan kepada pucuk kepimpinan - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur.
Bagaimanapun beliau meminta ahli-ahli Umno jangan sertai pembangkang.
Dr. Mahathir yang juga ahli Umno seumur hidup memberitahu, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau akan berada di luar parti selagi Abdullah masih memimpin Umno dan hanya akan kembali jika Abdullah berundur.
Kata beliau, surat mengenai keputusannya akan dihantar kepada Ibu Pejabat Umno dalam waktu terdekat.
Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang ketiga mengumumkan keluar Umno.
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987/88. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga pernah bertindak demikian.
Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.
Beliau diterima semula ke dalam Umno pada 1972 ketika kepimpinan Tun Abdul Razak.
Keputusan itu dumumkan seminggu selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, Dr. Mahathir dengan wajah kecewa berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.
"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.
"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," kata beliau.
Pemilihan pucuk kepimpinan dijadual pada Disember ini.
Dr. Mahathir yang menyertai Umno pada 1946 dipilih sebagai Presiden Umno pada tahun 1981.
Beliau berundur daripada kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Oktober 2003 selepas mengumumkan untuk berbuat demikian pada Perhimpunan Agung Umno 2002.
Sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, beliau mengkritik kepimpinan parti atas persembahan tidak memuaskan Umno dan Barisan Nasional termasuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.
Beberapa pihak pernah mengesyorkan supaya Dr. Mahathir dikenakan tindakan disiplin apabila terus-menerus mengkritik kepimpinan parti sejak awal tahun 2005.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan