Karpal gesa Dr. M dedah hakim lobi naik pangkat
PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyiasat pendedahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau bersedia untuk mendedahkan nama hakim-hakim yang mendampinginya untuk melobi kenaikan pangkat mereka.
Sambil menegaskan dakwaan itu tidak wajar dipandang remeh, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Dr. Mahathir harus mendedahkan kepada umum hakim-hakim yang melobi kenaikan pangkat demi kepentingan awam dan badan kehakiman terlebih dahulu.
"Saya terkejut apabila beliau (Dr. Mahathir) tidak tahu bahawa tindakan melobi adalah perkara serius dan tidak perlu beliau didakwa di mahkamah untuk mendedahkan hakim-hakim berkenaan.
"Tindakan melobi oleh hakim-hakim untuk kenaikan pangkat adalah salah laku yang serius," kata beliau kepada The Star hari ini.
Karpal yang juga peguam mengulas kenyataan Dr. Mahathir di Johor Baru semalam beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung isu aturan pelantikan hakim-hakim, sebagaimana disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Mengenai Klip Video Datuk V.K Lingam.
Kata Dr. Mahathir, dakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang kepada beliau untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan