Lim Guan Eng guna ball pen harga murah
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU (Hrkh) - Rakyat Pulau Pinang diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan umat Islam dan penduduk bukan Melayu selepas DAP mentadbir di negeri itu.
Ini kerana pelbagai dakwaan kurang berasaskan dilemparkan pihak lawan bagi menggambarkan konflik sedang berlaku di Pulau Mutiara selepas Pakatan Rakyat menguasai negeri tersebut.
Anggota Jawatankuasa PAS Balik Pulau, Ustaz Mohd Fauzi Yusof berkata, akibat rasa cemburu dan iri hati pihak terbabit membuat pelbagai kenyataan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.
“ Sedangkan apa yang berlaku sekarang umat Islam berada dalam keadaan aman, bahkan dalam masa yang sama kuliah dan ceramah agama boleh diadakan lebih bebas.
“ PAS tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri bahkan aktiviti parti boleh diadakan dengan lebih baik dan teratur berbanding sebelum ini, “ katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke sini, baru-baru ini.
Beliau bersama rombongan seramai 60 orang dari PAS Kawasan Balik Pulau mengunjungi kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10. Mereka berada di sini selama dua hari.
Mohd Fauzi juga mengakui hasrat Ketua Pulau Pinang, Lim Guang Eng, ingin jadikan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai idolanya dalam pentadbirannya semakin menjadi kenyataan.
Menurutnya ia dapat dibuktikan dengan sikapnya yang lebih bersederhana dalam mengurus harta kerajaan dan tidak menggunakannya bagi tujuan peribadi.
“ Rakyat Pulau Pinang sekarang sedang memerhatikan pemimpin kerajaan baru mentadbir negeri selepas diberi mandat pada 8 Mei lalu.
“ Alhamdulillah setakat ini apa yang saya perhatikan Ketua Menteri memang melaksanakan apa yang dicakapnya sebelum ni. Guna ball pen pun yang harga tak sampai seringgit, “ ujarnya.
Beliau juga berkata, pada masa ini PAS Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk mengaturkan program bersama rakyat kerana turut mendapat kerjasama kerajaan negeri.
“ Kelas-kelas agama, dewan kerajaan juga boleh digunakan sekarang. Syukur Alhamdulillah sekiranya kerajaan berjaya menawan hati rakyat, mereka tetap akan bersama kita sampai bila-bila, “ ujarnya. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan