HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Ogos 2008

Aishah Ghani musykil pengumuman peralihan kuasa kepimpinan Rafidah Aziz

REMBAU: Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Aishah Ghani berkata beliau musykil dengan pengumuman peralihan kuasa kepimpinan Pergerakan Wanita Umno seperti yang diumumkan oleh ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz Isnin lepas.

Beliau berkata adalah kurang sesuai dan tidak kena apabila peralihan kuasa berlaku setelah seseorang itu diamanahkan memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO untuk tempoh tiga tahun.

"Malah perkara seperti ini belum pernah terjadi dalam mana-mana sejarah pemilihan Ketua Pergerakan Wanita Umno sejak ia ditubuhkan. Seharusnya soal pemilihan Ketua Pergerakan Wanita Umno ini diputuskan semasa perhimpunan agung tahunan kerana hak menentukan pemimpin adalah merupakan hak perwakilan," katanya kepada pemberita selepas turut menyertai lawatan anggota Koperasi Jaya Murni Wanita Bhd Kuala Lumpur ke Rembau hari ini.

Rafidah mengumumkan akan melepaskan jawatan Ketua Wanita Umno dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Aishah berkata formula, yang kononnya bertujuan mengelakkan perpecahan dalam Wanita Umno, tidak sepatutnya timbul kerana sudah menjadi satu tradisi bagi Wanita Umno mengamalkan demokrasi bagi memilih ketua mereka.

Aishah berkata beliau tidak melarang Rafidah berbuat demikian tetapi mahu Rafidah memikirkan kembali keputusannya kerana langkah penyerahan kuasa itu bakal menyebabkan kekosongan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno.

"Hal ini tentu akan menjadi lebih rumit dan mengelirukan bagi Wanita Umno dalam mencari calon yang sesuai mengantikan tempat Shahrizat sebagai Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno," katanya.

Aishah, 84, merupakan anak jati Selangor dan pernah menyandang jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno selama 12 tahun sejak 1972. Beliau juga memegang jawatan Ketua Umno Cawangan selama 38 tahun di Pudu dan menjadi Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang selama 18 tahun.

Beliau mula aktif dalam politik sejak 1949 dan bergerak cergas di peringkat kebangsaan bersama Umno selama 44 tahun sejak tahun 1960. Aishah merupakan wanita kedua yang menjawat jawatan menteri Kabinet pada 1973 sebagai Menteri Kebajikan. BERNAMA

Tiada ulasan: