KOTA BHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Kubor berkemungkinan menyaksikan persaingan tiga penjuru
termasuk calon Bebas apabila ada yang memohon pas khas penyokong
daripada Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) untuk hari penamaan calon,
Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli
berkata, pada pilihan raya kali ini, SPR telah mengeluarkan sebanyak 230
pas khas penyokong kepada setiap calon yang bertanding.
"Penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat masing-masing minta
100 pas khas untuk penyokong mereka, manakala seorang individu yang
tidak mewakili mana-mana parti politik setuju dengan cadangan SPR untuk
memberinya 30 pas pada hari penamaan calon esok (Sabtu). Jadi, semuanya
230 pas," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Menurut Mohd Sobri, pas khas untuk penyokong itu turut dikeluarkan SPR
pada PRK sebelum ini, di mana penyokong boleh mengikut dan berarak
bersama calon yang disokong sehingga ke pekarangan pusat penamaan calon.
"Cuma mereka tak boleh ikut calon masuk sampai ke Bilik Gerakan.
"Kalau di sini (Tumpat) esok (Sabtu) penyokong yang ada pas khas ini
mereka boleh melepasi pagar berbanding penyokong yang tiada pas khas
yang perlu menunggu dalam jarak 50 meter dari pagar pusat penamaan
calon," katanya.
Pusat penamaan calon bagi PRK Pengkalan Kubor ditetapkan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
Tambahnya, sementara menunggu SPR membuat pengumuman calon yang akan
bertanding, SPR telah menyediakan khemah dan kerusi untuk penyokong khas
tersebut.
Selain itu, SPR mengesahkan sebanyak enam borang pencalonan untuk
bertanding pada PRK Pengkalan Kubor telah dibeli sehingga petang Jumaat.
Bagaimanapun nama atau butiran individu yang membeli borang itu tidak
boleh didedahkan kerana 'mungkin ada parti yang beli lebih borang untuk
'simpanan bila perlu'.
Jika benar terdapat calon Bebas tampil mengemukakan borang pencalonan
pada Sabtu, ini bermakna sejarah PRU-13 akan berulang di mana berlaku
persaingan tiga penjuru melibatkan Datuk Noor Zahidi Omar (BN), Saharun
Ibrahim (PKR) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Allahyarham mengalahkan Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan