Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang
(PKA) Tan Sri Kong Cho Ha diidesak menjelaskan keputusan menarik balik
saman RM720 juta terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB)).
Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming hari ini berkata,
sebagai Pengerusi baru PKA, Cho Ha harus menjelaskan keputusan
mengejutkan itu kerana ia melibatkan harta awam.
“Ini merupakan satu keputusan paling mengejutkan yang mesti
dijelaskan secara terbuka oleh Cho Ha,” kata Kia Ming dalam satu
kenyataan.
Keputusan PKA menarik saman tersebut dibuat dua bulan selepas Cho Ha dilantik pengerusi Lembaga.
PKA merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Cho Ha merupakan bekas menteri pengangkutan.
Kian Ming berkata demikian merujuk laporan The Edge
Financial Daily mengenai keputusan PKA 21 November lalu untuk menarik
semula saman RM720 juta terhadap KDSB dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan
Klang (PKFZ).
Laporan itu menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah PKA
sebulat suara bersetuju untuk tidak meneruskan saman dalam satu
mesyuarat khas di Putrajaya, Jumaat lalu.
Kata Kian Ming, PKA menanggung kerugian RM201 juta bagi
tahun kewangan 2013 dan telah memiliki kerugian terkumpul RM674 juta
sejak 2010.
Tegasnya, PKA tidak mampu bertahan jika kerajaan tidak
memberikan bantuan melalui pinjaman jangka panjang dengan kaedah faedah
rendah sebanyak 4 peratus setahun dan bayaran faedah tertunda sehingga
2018.
“Jika PKA mampu mendapatkan semula sebahagian RM720 juta,
ia akan membantu mengurangkan beban kewangan dan dapat membayar semula
sebahagian hutang jangka panjang kepada kerajaan,” ujarnya.
Laporan Tahunan PKA 2013 menunjukkan RM1.82 bilion
diperuntukkan sebagai aset luar jangka yang boleh dituntut semula jika
kes saman sivil terhadap KDSB berjaya.
Justeru itu, Kian Ming menggesa Kementerian Kewangan
menjelaskan perkara ini dan mengapa wakil lembaga pengarah mereka (Datuk
Dr Mohd Isa Hussain) tidak hadir dalam mesyuarat PKA ketika keputusan
pengguguran sama dibuat.
“Semua bantuan kewangan semasa dan masa depan serta
sokongan diberikan kepada PKA tentunya datang dari Kementerian Kewangan
dan apabila wakil mereka tidak hadir ketika keputusan penting dibuat,
pastinya ada sesuatu yang tidak kena,” tegasnya.
PKA memfailkan saman terhadap KDSB pada 25 September 2009
dalam mencari kebenaran perjanjian ditandatangani pada 12 November 2002
bagi tanah bernilai RM1.88 bilion.
Lembaga itu menuntut satu deklarasi agar mereka tidak
dikenakan faedah RM720 juta baki harga pembelian tanah dan menuntut
pengembalian faedah yang dibayar kepada KDSB. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan