IKHWAN HAZWAN
Hasan berkata, PKR Johor
bersedia untuk mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana parti,
pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu yang bersedia melawan
UMNO dan Barisan Nasional, sejajar dengan pendirian PKR.
KUALA LUMPUR, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor bercadang untuk bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan termasuk kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
Pengerusi PKR Johor, Hasan Karim
berkata, tiga daripada lapan DUN berkenaan membabitkan DUN Gambir, DUN
Puteri Wangsa dan juga DUN Permas.
DUN Gambir sebelum ini ditandingi oleh
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu Datuk Dr Mahfodz Mohamed manakala DUN
Puteri Wangsa kini disandang oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah
Husin.
Menurut Hasan, PKR Johor turut
memutuskan untuk kekal bertanding di 12 kerusi parlimen dan juga 12
kerusi DUN yang ditandingi parti berkenaan pada pilihan raya sebelum
ini,
“Ini bermakna, PKR Johor akan kekal
bertanding di 12 kerusi Parlimen dan bersedia untuk bertanding
sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 56 kerusi DUN.
“Keputusan tersebut merupakan resolusi
yang dipersetujui selepas mengadakan Retreat Majlis Pimpinan Negeri
(MPN) PKR Johor yang berlangsung pada 25 hingga 26 Julai lalu yang
dihadiri Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP), Datuk Saifuddin
Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin.
“Kedua-dua mereka akan memajukan
resolusi Retreat PKR Johor tersebut kepada pimpinan pusat parti,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hasan, pihaknya juga mengambil
maklum bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud sama ada di peringkat
nasional atau peringkat negeri,
Jelasnya, PKR Johor bersedia untuk
mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana parti, pertubuhan bukan
kerajaan dan individu-individu yang bersedia melawan UMNO dan Barisan
Nasional, sejajar dengan pendirian PKR.
“PKR Johor turut akan menampilkan lebih
ramai pimpinan muda terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bangsa
yang lebih progresif, di mana mereka ini bersedia memimpin dan membawa
perubahan pada PRU ke-14 khususnya di negeri Johor,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan