KOTA BHARU- Empat individu termasuk seorang Kerabat Diraja bergelar `Tengku’ dari negeri ini ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menipu dan memperdaya mangsa berkaitan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk dari negeri ini.


Dengan mendakwa diberikan kuota oleh Persatuan Kerabat Diraja untuk memberi gelaran Datuk, golongan terbabit dikatakan menunjukkan beberapa dokumen bagi meraih kepercayaan mangsa sekalipun ia sebenarnya tidak wujud.

Empat individu itu termasuk seorang wanita berusia antara 50 dan 63 tahun, dengan dua daripadanya ditahan di Selangor serta bakinya ditahan di Kelantan semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, modus operandi kumpulan itu menerusi `marketing’ atau mencari mangsa di luar Kelantan dengan menawarkan gelaran Datuk membabitkan bayaran antara RM60,000 dan RM120,000.

Katanya, mereka yang berminat dikehendaki membuat bayaran dan akan diberikan watikah serta kad yang kononnya sebagai pengesahan bahawa mereka adalah penerima Darjah Kebesaran dalam majlis yang biasanya diadakan di hotel, samada di Kelantan atau di tempat lain.

“Sebenarnya anugerah ini hanya boleh diberikan oleh Sultan Kelantan sahaja mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Individu yang ditawarkan Darjah Kebesaran seperti ini sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu dengan Pengelola Istana bagi mendapatkan kesahihannya kerana mungkin itu kegiatan mereka yang menipu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2014 dan setakat ini lapan mangsa sudah dikenal pasti menjadi mangsa penipuan ini.

Katanya, lebih melucukan apabila mangsa yang tidak mengetahui situasi sebenar membuat iklan di akhbar memaklumkan penganugerahan yang diterima.

Bagaimanapun, gambar yang disiarkan beserta gelaran itu adalah tidak benar. Berikutan itu, mereka membuat laporan polis.

“Polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya supaya menyerahkan sejumlah wang,” katanya.