Pas bimbang kenyataan itu hanya wayang bagi menyelamatkan UMNO.
PETALING JAYA : Pas membangkitkan persoalan sama ada luahan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kebimbangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mewakili suara majoriti dalam Kabinet dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga bertanyakan adakah Muhyiddin akan terus mendesak sehingga Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bercuti sehingga siasatan Pasukan Petugas Khas selesai atau mengasak ketuanya untuk disoal siasat.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri pernah mengkritik 1MDB tetapi selepas itu berdiam diri dan adakah Muhyiddin sekali lagi akan berbuat demikian.
Pada 6 Mac lalu beliau telah memberikan amaran kerajaan akan menanggung kerugian sekiranya penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.
“Namun selepas itu Muhyiddin memilih untuk mendiamkan diri apabila Lembaga Tabung Haji digunakan untuk membeli tanah TRX daripada 1MDB yang sehingga kini masih tidak dapat dijual kepada pembeli lain meskipun Najib dan Pengerusi LTH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ramai pembeli yang berminat memiliki tanah TRX.
“Apakah Muhyiddin akan mendiamkan diri sekali lagi selepas bersuara lantang seperti 5 bulan yang lalu,” katanya menerusi kenyataan media.
Tuan Ibrahim, Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, keseriusan Muhyiddin dalam isu 1MDB boleh diukur melalui kesanggupan beliau yang menuntut supaya kabinet membatalkan penggantungan permit The Edge dan juga menuntut agar laporan interim 1MDB yang dilakukan Ketua Audit Negara didedahkan kepada umum.
“Jika dua perkara ini tidak dapat diusahakan Muhyiddin, anggaplah luahan Muhyiddin semalam hanyalah sekadar wayang bagi mengurangkan kerosakan imej terhadap UMNO,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan