HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2015

'Gugur luar jangka, tapi bukan luar biasa'

MALAYSIAKINI


 


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya adalah di luar jangkaan.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata apa yang diputuskan oleh perdana menteri itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sejarah Malaysia di mana pemimpin politik berbeza pandangan.

Katanya, ini kerana Najib secara jelas menyatakan bahawa mahukan satu pasukan yang selaras dengan pandangan beliau selaku perdana menteri.

"Oleh kerana ada beberapa pandangan (Muhyiddin) secara terbuka yang menunjukkan beliau mempunyai pendirian yang berasingan dengan perdana menteri, namun ia bukanlah satu perkara yang luar biasa dalam sejarah Malaysia.

"Jadi, saya fikir sebagaimana yang PM nyatakan beliau mahu satu pasukan yang selari dan selaras dengan pandangan serta kepimpinan beliau. Jadi ini bukan perkara yang memeranjatkan," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas rombakan kabinet yang hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin selepas digugurkan di tengah-tengah kontroversi 1MDB.

Dalam pengumuman rombakan kabinet itu, Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak berkata, keputusan untuk menggantikan Muhyiddin termasuk beberapa menteri yang lain dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran supaya lebih komited dan fokus.

Mengulas apakah barisan kabinet baru ini dapat menangani krisis keyakinan dan kredibiliti Najib selaku perdana menteri ini jawab Syed Hamid yang juga ahli Parlimen Kota Tinggi berkata:

"Najib sekarang ada krisis keyakinan, krisis kredibiliti. Jadi, daripada pengumuman yang dibuat itu perdana menteri mahu memantapkan lagi pentadbiran negara sejajar dengan kedudukan prinsip tanggungjawab bersama.

"Jadi, nampak dia punya barisan kabinet itu adalah barisan kabinet yang beliau rasakan lebih selesa dan cukup yakin untuk berdepan dengan krisis keyakinan, krisis kredibiliti dan masalah politik kesan daripada pengguguran TPM," ujarnya.

Malah, Syed Hamid percaya apa yang diputuskan Najib itu lahir dari keyakinan beliau terhadap kabinet baru ini.

"Saya percaya beliau (Najib) telah mengambil kira semua perkara apabila memutuskan untuk melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi termasuk kepentingan politik.

"Jadi, apa jua polemik yang mungkin akan timbul saya yakin Najib telah mengambil kira perkara tersebut dengan adanya pasukan yang betul-betul jitu ini.

"Sama ada barisan kabinet baru ini boleh bekerja atau tidak perkara yang berbeza tetapi rombakan ini boleh dianggap satu pergerakan yang strategik untuk berdepan dengan kemelut hari ini," tambahnya. 


Tiada ulasan: