HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2015

Zahid: Pelantikan sebagai TPM bukan habuan...

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin bukan satu habuan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk negara dan seluruh bangsa di Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga naib presiden Umno, berkata pelantikannya yang berkuat kuasa esok adalah bukti jelas tentang kebersamaan antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang telah lama terjalin.

"Pemikulan tanggungjawab ini tidak dapat saya elakkan, ia mengulangi sejarah lama apabila Najib yang dilantik sebagai menteri belia dan sukan melantik saya sebagai setiausaha politik.

"... kemudian saya mengikut Najib sebagai setiausaha politik apabila beliau dilantik sehingga menjadi menteri pertahanan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Ahmad Zahid yang masih mengekalkan portfolio menteri dalam negeri berkata :"Saya tak pernah menjangkakan dan  membayangkan (pelantikan sebagai timbalan perdana menteri) tetapi Allah Taala yang menentukannya. Saya terima ini sebagai Qada dan Qadar".

Ahmad Zahid juga meminta semua anggota Kabinet, anggota Majlis Tertinggi Umno serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya terus memberi sokongan padu kepada Najib.

Rombakan kabinet itu menyaksikan lima menteri digugurkan dan tujuh orang dilantik sebagai menteri baru. - Bernama


 

Tiada ulasan: