HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2015

PM: Gugur Muhyiddin sukar tapi terpaksa

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak berkata langkah beliau menggugurkan timbalannya Tan Sri muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang amat sukar.

Malah, Najib berkata keputusan tersebut dibuat demi kepentingan negara sekali gus mengambil kira pertimbangan politik semasa kini.

"Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan jitu.

"Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri serta perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran.

"Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara seperti dijanjikan oleh kerajaan BN kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13," katanya dalam sidang media di Putrajaya sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau mahu jemaah menteri bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu berbangkit agar dapat ditangani dengan berkesan.

Ujarnya lagi, selaku ketua pentadbir negara beliau bersedia menerima perbezaan pendapat dan kritikan namun ianya perlulah dibuat secara tertutup.

Tetap hargai bekas timbalan

"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan.

"Namun, sebagai anggota kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama (collective responsibility) kabinet," katanya.

Pada sidang media itu juga Najib turut mengucapkan penghargaan kepada Muhyiddin serta beberapa pemimpin lain yang digugurkan dalam rombakan Kabinet hari ini.

Selain itu, Najib juga turut menyatakan keyakinan dengan adanya barisan kabinet baru.

"Insya-Allah, saya yakin kabinet yang baru ini dapat meneruskan hasrat kerajaan menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada BN," tambahnya.

Perdana menteri juga memaklumkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda diadakan pada Rabu, 29 Julai 2015, jam 10 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur. 


Tiada ulasan: