HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2016

Berundurlah Mukhriz demi rakyat Kedah

Hubungan tidak baik antara Mukhriz dengan Pusat akan menjejaskan pembangunan di Kedah.

mukhriz-kedah


Krisis Menteri Besar Kedah yang sedang hangat ketika ini seolah-olah mengulangi sejarah krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku pada 2014.

Selepas rakyat dhidangkan dengan pergolakan Pakatan Rakyat (ketika itu masih wujud) untuk menyingkirkan Menteri Besarnya, kini UMNO pula mengulangi perkara sama.

Segala-galanya tidak akan berpanjangan jika Mukhriz tidak besar kepala dan akur dengan suara majoriti wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu lagi beliau menerajui negeri Kedah.

Jika majoritinya enggan lagi menyokong Mukhriz kerana tidak percaya kepimpinanya, anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu sepatutnya dan sewajibnya boleh ‘angkat’ kaki meninggalkan Wisma Darul Aman.

Alasan mendakwa Mukhriz gagal membawa pembangunan di negeri Kedah bukan mengejutkan kerana jika pemimpin negeri tidak mempunyai hubungan baik dengan Pusat, pasti akan membawa masalah.

Dalam hal ini, kita semua tahu hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mukhriz ‘dingin’ dan kita juga tahu puncanya datang daripada siapa.

Sukar untuk percaya jika Najib memberi segala bantuan kepada Mukhriz untuk mentadbir Kedah. Oleh sebab itu kita dengar peruntukan Pusat untuk Kedah lambat disalurkan hingga menjejaskan pembangunan negeri.


Kedah tidak seperti Selangor yang tidak perlukan peruntukan Pusat. Sebahagian besar sumber kewangan Kedah datangnya daripada Kerajaan Pusat.


Apakah pembangunan yang dibawa Mukhriz ke Kedah? Cuba rakyat Kedah membuka minda dan menerima realiti sebenar.


Selagi ada Mukhriz di tampuk pemerintahan Kedah, selagi itulah Kedah akan terus ketinggalan. Jadi rakyat Kedah harus merelakan pemergian Mukhriz jika mahu negeri itu terus membangun.

Patah tumbuh hilang berganti. Jika Mukhriz dikatakan pemimpin baik dan berjiwa rakyat, mungkin pengantinya lebih baik dan lebih mesra rakyat.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah umpamanya, Imej kekampungannya sangat sesuai dengan rakyat Kedah yang sebahagian besar kawasannya masih belum membangun.

Tambah, beliau sangat berpengalaman dan tahu selok belok Kedah. Yang paling penting, beliau ‘budah suruhan’ Najib, jadi mudahlah peruntukan disalurkan kepada Kedah.

Begitu juga dengan beberapa calon lain yang tidak kurang hebatnya seperti ADUN Guar Chempadak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang mempunyai latar belakang yang hebat.

Mereka ini boleh bersama rakyat Kedah tujuh hari seminggu dan tidak perlu ulang alik ke Kuala Lumpur setiap kali hujung minggu sehingga menjadi ‘buah mulut orang’.

Najib mempunyai alasan kuat untuk bersetuju dengan desakan majoriti ADUN Kedah mahu Mukhriz disingkirkan. Mukhriz juga perlu berlapang dada untuk menerima hakikatnya beliau tidak lagi diperlukan menerajui Kedah.

Jadilah seorang ahli UMNO yang patuh arahan ketua, tak payah tarik rakyat dan peminat bola sepak dalam kemelut ini, dan tak payah tarik istana untuk meraih sokongan dan simpati.

Cukup-cukuplah rakyat dimomok sandiwara Pakatan Rakyat menyingkirkan Khalid. Mukhriz lebih baik daripada itu. Letak jawatan dan lawan Najib secara terbuka. Itu adalah lebih baik untuk beliau dan bapanya, Dr Mahathir.

Tiada ulasan: