HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2016

Cadangan ‘mat rempit’ berlumba bawa mudarat awam

Syerleena

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Rancangan Kementerian Wilayah Persekutuan membenarkan pelumba haram atau ‘mat rempit’ berlumba dengan menutup jalan raya tidak berkesan bagi membendung gejala sosial itu di kalangan masyarakat negara ini.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid berkata kerajaan patut melakukan usaha menyeluruh bagi menangani masalah itu sebelum mencadangkan langkah kontroversi yang menjejaskan lagi keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, kebanyakan pelumba haram tidak ada kemahiran terlatih, justeru rancangan itu akan meningkatkan kadar kemalangan serta membahayakan lagi nyawa peserta dan pengguna awam jalan raya.

“Masalah itu bukanlah perkara baharu, namun sehingga kini kerajaan masih gagal membanteras isu sosial itu secara efektif.

“Kaji selidik terperinci patut dijalankan bagi menanganinya, sebaliknya kerajaan mencadangkan langkah yang mungkin menambah kemudaratan awam,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam untuk menutup jalan raya pada masa tertentu bagi membolehkan ‘mat rempit’ berlumba di jalan raya sekitar ibu negara.

Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang itu berkata, langkah itu seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada pelumba haram untuk meneruskan amalan pergaduhan antara kumpulan yang selama ini terjadi di negara ini.

“Idea di sebalik budaya perlumbaan jalan raya adalah untuk membentuk pasukan dan berlumba antara satu sama lain. Ia sering dianggap masyarakat sebagai satu bentuk jenayah terancang atau aktiviti geng.

“Jika kerajaan membenarkan perlumbaan jalan raya, dikhuatiri kes pergaduhan di kalangan remaja khususnya ‘mat rempit’ meningkat. Langkah itu terbukti pendekatan lemah dan tidak berkesan,” katanya yang percaya ia hanya meningkatkan gejala sosial lain.

“Lumba jalan raya turut mengakibatkan kerosakan harta benda, contohnya kemusnahan papan tanda dan tiang lampu dan meningkatkan kos pembaikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggunakan wang cukai dibayar rakyat.

“Kes kecurian kenderaan, kes memandu dalam pengaruh dadah atau alkohol dan kesalahan ketenteraman awam turut bertambah,” katanya sambil mencadangkan penguatkuasaan lebih tegas di samping kaedah mengenal pasti faktor psikologi ‘mat rempit’ untuk mencegah mereka menyertai aktiviti itu. -Roketkini.com


Tiada ulasan: