HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2016

Sabah patut isytihar darurat atasi krisis air di Tawau

Chan-Foong-Hin

Roketkini.com


TAWAU : Kerajaan Sabah digesa supaya mengambil langkah drastik bagi membendung masalah bekalan air di sini berikutan fenomena El Nino yang melanda negara sejak awal tahun ini.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Chan Foong Hin, berkata, jika krisis itu berlarutan kerajaan harus mengisytihar lokasi berkenaan sebagai kawasan darurat.

“Kedua-dua pusat pemulihan air di Tawau mengalami masalah paras air rendah. Ia mengakibatkan krisis air selama lebih dua minggu. Kerajaan harus ambil tindakan cepat, harus diisytihar sebagai kawasan darurat jika krisis itu berpanjangan.

“Melalui pengisytiharan darurat, majlis kerajaan tempatan boleh mengarahkan pelbagai jabatan untuk mengatasi krisis berkenaan termasuk meminta kerajaan Persekutuan membuat pembenihan hujan,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Foong Hin turut mempersoal apakah tindakan yang sudah dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu daripada terus berlarutan.

“Bagi sesetengah tempat, saya namakan beberapa, Bandar Sri Indah, Mah On San, Tinagat dan Kao Sing mengalami ketiadaan bekalan air sejak Tahun Baru Cina.

“Apakah tindakan kerajaan yang sudah dibuat untuk mengatasi masalah itu? Jangan beritahu kami mengenai rancangan lima tahun atau 10 tahun untuk membina empangan,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah itu juga percaya kegiatan pembalakan di hutan dara di negeri itu juga mengakibatkan kawasan tadahan air terganggu dan musnah.

“Jabatan air, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Alam Sekitar patut menjawab segala persoalan secara terbuka,” katanya yang mencadangkan tambahan air tangki bomba tangki untuk mengagih air kepada pengguna. -Roketkini.com


Tiada ulasan: