KUALA LUMPUR: DAP berpendirian krisis mengenai jawatan menteri besar
Kedah perlu diselesaikan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun setiausaha agungnya Lim Guan Eng tidak menolak usul undi tidak
percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih menjadi cara terbaik
untuk mengeluarkan beliau daripada kedudukannya.
"Lebih baik membiarkan Dewan membuat keputusan. Hanya selepas itu kita
akan tahu keputusan rakyat," katanya ketika ditanya apakah pendirian DAP
dalam hal itu.
Malah Lim juga enggan mengulas lanjut dengan membuat sebarang spekulasi
mengenai perkara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu nanti.
"Kita perlu menghormati protokol istana. Saya tidak berani membuat spekulasi.
"Tetapi saya rasa jemaah itu mungkin mahu menemui wakil pembangkang
bagi mendapatkan gambaran sentimen rakyat mengenai perkara itu," katanya
lagi.
Seramai 15 ADUN pembangkang di Kedah, termasuk 2 daripada DAP dipanggil
bermesyuarat dengan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung isu
menteri besar petang ini di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Lim berkata jika perkara itu dibawa ke DUN, DAP akan mengkaji syarat
usul tidak percaya terhadap Mukhriz terlebih dulu sebelum membuat
keputusan.
"Biar kita lihat dulu apa usul itu. Kami belum tahu tentang itu lagi.
"Ini isu yang amat besar ... menukar menteri besar. Jika Barisan
Nasional (BN) bersetuju membawa perkara itu kepada Dewan, kita akan
melihat syarat usul itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan