KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan suspek
dalam siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan
AS$4 bilion, kata Pejabat Peguam Negara di Switzerland.
"Dalam prosiding jenayah yang sedang dijalankan oleh OAG (Pejabat
Peguam Negara), Mr Najib Razak bukan salah seorang daripada pegawai awam
di bawah tuduhan itu," kata jurucakap OAG, Andre Marty kepada Nikkei
Asian Review.
Tambah Marty, frasa "individu tidak diketahui" di dalam undang-undang
Switzerland merujuk kepada prosiding jenayah di mana terdapat syak
munasabah bahawa satu kesalahan telah dilakukan, tetapi tertuduh tidak
diketahui.
OAG memulakan prosiding jenayah pada Ogos lalu terhadap dua bekas pegawai 1MDB serta "seorang individu tidak diketahui".
Minggu lalu, Ketua pendakwa raya Switzerland, Peguam Negara Michael
Lauber berkata, beliau telah meminta Malaysia untuk membantu siasatannya
terhadap kemungkinan pelanggaran undang-undang Switzerland oleh 1MDB,
sambil mengatakan bahawa satu penyelewengan disyaki melibatkan AS$4
bilion.
Lauber berkata, permintaan itu adalah mengenai kemungkinan pelanggaran
undang-undang Switzerland berkaitan dengan sogokan pegawai asing, salah
laku di pejabat awam, penggubahan wang haram dan jenayah salah urus
tadbir di 1MDB.
Kenyataan Lauber itu selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali
mengumumkan bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Najib
berkaitan ketiga-tiga siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd
dan dakwaan dana RM2.6 bilion.
Apandi kemudiannya memberi respons kepada Lauber dengan mengatakan
bahawa pihaknya akan mengambil segala langkah perlu untuk membuat
susulan dan bekerjasama dengan Switzerland dan berharap menerima hasil
siasatan dan bahan daripada mereka menerusi saluran biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan