HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Februari 2016

Kekal hak Melayu selagi ada bulan, bintang

Sirajuddin Salleh

 



ULASAN PERKASA amat terperanjat dengan kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz seperti dilaporkan pada 30 Januari 2016 yang menyatakan masyarakat Melayu masih dipenjara dalam pemikiran bahawa mereka istimewa dan berhak mendapat hak-hak keistimewaan.

Bercakap pada pelancaran buku Liberating the Malay Mind tulisan Dr M Bakri Musa, Rafidah menyatakan bahawa amat memalukan setelah bertahun-tahun lamanya, masyarakat Melayu masih menagih hak keistimewaan.

PERKASA amat terkejut dan kecewa dengan kenyataan Rafidah itu! Bukankah semasa menjadi ketua Wanita Umno dulu beliau melaung di seluruh negara sebagai pembela bangsa dan pejuang hak Bumiputera?

Apakah kerana sudah kaya-raya dan menjadi pengerusi syarikat syarikat bukan Bumiputera lalu lupa daratan dan ingin mengambil hati mereka? Janganlah jadi pengkhianat bangsa!

PERKASA juga ingin menyedarkan Rafidah dan seluruh rakyat Malaysia bahawa masyarakat Melayu bukan menagih hak keistimewaan tetapi memang wajar hak untuk bangsa Melayu sebagai anak watan jati negara ini.

Perkara ini sememangnya telah termaktub dalam wasiat raja raja Melayu dan juga Perlembagaan Malaysia.
Haruslah diingatkan bahwa hak ini bukanlah sebahagian daripada quid pro quo (sesuatu untuk sesuatu) dalam rundingan terma kemerdekaan.

Keseimbangan dalam perlumbaan

Hak biasiswa dan keistimewaan Melayu ini adalah penting demi merapatkan jurang perbezaan dari segi ekonomi dan sosial antara bangsa-bangsa di negara ini.

Perlu juga diingatkan bahawa Artikel 153 dalam Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan bahawa hak-hak keistimewaan adalah untuk bangsa Melayu dan Bumiputra.

Dan segala polisi-polisi kerajaan berkaitan agama Islam, Bahasa Melayu dan ekuiti kaum Melayu perlulah di pertahankan selamanya.

Adalah amat tidak wajar bagi seorang bekas menteri kanan Malaysia dari Umno membuat kenyataan yang melanggar apa yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Dan Rafidah mesti menerima kenyataan bahawa bangsa Melayu masih memerlukan keseimbangan dalam perlumbaan untuk merapatkan jurang ekuiti dan ekonomi dengan bangsa-bangsa lain.

Adalah amat memalukan bagi seorang menteri untuk tidak memikirkan nasib bangsa Melayu, bangsanya sendiri dan Bumiputera kawasan luar bandar yang terlalu amat memerlukan hak-hak keistimewaan ini untuk membina nasib keluarga dan bangsa.

Tidakkah beliau sedar bahawa pegangan ekuiti ekonomi masyarakat Melayu kini masih jauh terlalu rendah berbanding dengan jumlah ekuiti milikan bukan bumiputera?

Sesudah menyeberang jambatan

Kami juga hairan kenapa beliau yang sudah selamat menyeberangi sungai menggunakan jambatan tiba-tiba mahu supaya jambatan itu dibakar dan generasi sekarang serta mendatang menyeberanglah sendiri tanpa jambatan.

Mengapakah beliau tidak mencadangkan supaya biasiswa untuk bukan Bumiputera itu yang dihapuskan kerana pegangan ekuiti ekonomi bukan Bumiputra jauh lebih tinggi?

Malah, perlembagaan juga tidak membuat peruntukan istimewa untuk mereka.

idakkah beliau tahu bahwa negara negara maju juga menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa kepada rakyatnya?

PERKASA mendesak Rafidah dan pemimpin-pemimpin Melayu yang lain untuk tidak menjadi alat dan diperalatkan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab yang sengaja hendak merobek hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera yang sedia termaktub dalam perlembagaan.

PERKASA juga menuntut pemimpin-pemimpin Umno dan PAS serta NGO lain supaya turut serta membuat ketetapan bahawa segala yang termaktub dalam perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama.

PERKASA mahu supaya segala hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputra yang sedia termaktub dalam perlembagaan dikekalkan selagi adanya bulan dan bintang.

*  DATUK SIRAJUDDIN SALLEH pengerusi Biro Pendidikan PERKASA.


Tiada ulasan: