RAMAI tertanya-tanya tujuan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan petang kelmarin mengecam tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian yang mengadakan sidang media pada 20 Januari lalu dengan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.
Apa maksud yang tersirat tidaklah diketahui kerana dalam masa sama, beliau mendesak mereka yang terlibat segera memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah kerana mencemar pelbagai acara sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.
Sebagai pengerusi Umno Kedah, beliau turut memohon ampun berikutan Istana Anak Bukit dikhabarkan murka terhadap kumpulan yang cuba menyingkirkannya sebagai MB.
Mukhriz berkata, Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga memaklumkan turut murka dengan keingkaran exco menghadiri mesyuarat Rabu lalu.
Ketika berbual, seorang pemerhati politik tempatan berkata, pelbagai tafsiran boleh dilakukan dengan perkembangan terbaharu dalam kemelut yang melanda Umno Kedah berikutan majoriti Adunnya menyuarakan hilang keyakinan dan sokongan terhadap Mukhriz sebagai MB dan pengerusi Umno negeri.
“Adakah tindakan itu wajar atau tidak. Kenapa hanya mengeluarkan kenyataan seperti itu setelah hampir 11 hari mendiamkan diri.
“Kenyataan itu umpama tembakan peluru berpandu yang dihalakan kepada semua penentangnya demi menyelamatkan diri dari serangan balas,” katanya.
Beliau musykil kenapa kenyataan itu hanya dikeluarkan beberapa jam selepas mendapat khabar bahawa semua Adun Umno diminta menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman petang semalam.
Tentu agak melucukan kerana tindakan itu seolah-olah ingin memberi ugutan dan tekanan kepada semua Adun yang bersekongkol dengan Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah agar menyerah kalah dan kembali menyokongnya.
Apa tidaknya, kenyataan yang begitu pedas dan keras meletakkan semua kesalahan kepada kumpulan berkenaan yang dianggap pencetus masalah kepada politik di Kedah.
“Ini bukan zaman televisyen hitam putih lagi. Apa sahaja kenyataan orang akan ikut dan patuh. Zaman limpahan teknologi maklumat dan dunia siber, orang lebih cerdik dan tidak lagi takut dengan ugutan.
“Jangan ingat kata dua itu akan melemahkan semangat Adun yang terlibat. Ia sebenarnya akan menyebabkan mereka lebih keras hati dan agresif dalam tindakan susulan. Mereka tidak lagi teragak-agak untuk bertindak balas dan menyingkir terus Mukhriz dari gelanggang politik Umno Kedah,” katanya.
Seorang pemimpin Umno peringkat bahagian yang ingin dirahsiakan identitinya berkata, tindakan Mukhriz mengheret istana dalam kemelut Umno Kedah adalah tidak wajar dan mengecewakan banyak pihak.
“Kenapa perlu menggunakan nama istana dalam masalah yang hanya melibatkan pemimpin Umno.
Betulkah Tuanku Sultan murka dengan insiden yang berlaku sedangkan selama ini kita tidak pernah dengar istana mencampuri apa-apa urusan politik negeri.
“Jika benar Tunku murka, kenapa tidak dikeluarkan dengan segera kenyataannya. Kenapa perlu tunggu begitu lama untuk membuat ulasan,” katanya.
Beliau kesal kerana Mukhriz seolah-olah mengambil peluang dan menggunakan kesempatan yang ada dalam hubungan kerajaan negeri-istana untuk mencetuskan sesuatu yang jarang berlaku.
“Jika benar istana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang ini, sepatutnya pihak istana yang mengeluarkan kenyataan dan tidak perlu mengarahkan MB untuk berbuat demikian bagi pihak mereka,” katanya.
Jika merujuk kembali kepada kenyataan Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah sebelum ini jelas menyebut bahawa Jemaah Pemangku Sultan Kedah berkecuali dalam krisis politik di Kedah, selain menasihatkan semua pihak terlibat mencari jalan penyelesaian terbaik.
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga mengambil maklum berita pergolakan politik yang sedang berlaku di Kedah dan berkecuali dari menyokong atau memihak mana-mana golongan atau pihak.
Pemimpin Umno itu juga kesal kerana Mukhriz dengan jelas dan secara langsung sudah mengheret istana dalam kemelut Umno dan ini boleh mengundang pelbagai persoalan dan masalah lain jika dibiarkan berterusan.
Untuk itu, beliau meminta Mukhriz bertindak secara matang dan mendepani masalah yang berlaku secara gentlemen dengan kekuatan sendiri tanpa perlu bergantung atau bersandar kepada pihak lain.
“Jangan guna pihak istana untuk kepentingan sendiri atau bagi mengekalkan kuasanya yang semakin terhakis dan hanya tinggal sisa-sisa. Terimalah ketentuan ALLAH SWT dan reda dengan takdirnya,” katanya.
Seorang Adun yang enggan dikenali menganggap tindakan Mukhriz adalah melampau dan keterlaluan kerana sanggup mengheret istana dalam masalah dalaman parti.
“Tidak wajar dan memalukan diri sendiri. Memang wajar dia meminta ampun kepada pihak istana kerana dia yang mengaitkan dan menimbulkan isu ini.
“Selama ini kita langsung tidak menyentuh istana kerana masalah ini hanya berkisar kepada krisis kepimpinan Umno,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Mukhriz meminta maaf kepada semua Adun dan kepimpinan Umno bahagian kerana sudah mencemar nama baik dan menjatuhkan maruah mereka kepada pihak istana dan rakyat jelata.
“Memang dia yang patut minta maaf kepada istana dan kami semua. Dialah yang menjadi pencetus kepada masalah di Kedah,” katanya.
Menurutnya, ramai yang ingin mengulas kenyataan Mukhriz itu, tetapi masih bersabar dan mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan bagi meredakan keadaan yang nampak mulai panas dan boleh menjadi gawat jika tidak ditangani dengan wajar dan waras.
Bagaimanapun, pemerhati politik tempatan itu yakin masalah atau kemelut yang berlaku akan selesai sebaik sahaja semua Adun Umno yang secara konsensus tidak lagi menyokong kepimpinan Mukhriz ketika mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur petang kelmarin mengulangi “tidak kepada Mukhriz” ketika berhadapan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah petang semalam.
“Dengan keyakinan yang disuarakan seorang demi seorang di hadapan pihak istana, kemelut ini tentu akan berakhir dengan tenang dan tersusun tanpa masalah lagi.
“Jadi kini tibalah masanya Umno Kedah memberi peluang kepada pemimpin lain untuk terus memikul amanah rakyat dan mengharungi PRU14 dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan