HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2016

Kementerian siasat dakwaan sekatan sekolah pada Muhyiddin

MALAYSIAKINI




Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilarang berucap pada majlis di sebuah sekolah.

Mahdzir berkata, siasatan tersebut meliputi pihak sekolah dan penganjur.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat semakan tentang Majlis Bola Sepak Liga Belia anjuran komuniti dan NGO yang menggunakan premis sekolah.

"Tetapi (terdapat dakwaan) mengatakan (pihak) sekolah memberi arahan (kepada Muhyiddin) tidak boleh menyampaikan ucapan.

"Siasatan juga meliputi pihak sekolah dan penganjur," kata Mahdzir dalam kenyataannya yang ditulis di Facebooknya hari ini.

Ahad lalu, Muhyiddin didakwa tidak dibenarkan berucap di SMK USJ14 bagi melancarkan Liga Bola Sepak Belia Komuniti Subang Jaya.

Ia merupakan anjuran Kelab Sukan Komuniti Subang Jaya. Perkara itu juga dimuat naik di Facebook Muhyiddin yang menyatakan kekesalannya berhubung kejadian berkenaan.

Bekas menteri pendidikan itu berkata, pihak sekolah mengatakan mereka "menerima arahan daripada pihak-pihak tertentu" untuk tidak membenarkannya berucap.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjangkakan perkara itu dan sempat beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat pulang.


Tiada ulasan: