HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2016

Lebih publisiti, lebih perhatian terhadap hasil kerja saya’

MALAYSIAKINI





Artis Fahmi Reza berkata amaran polis bahawa dirinya di bawah pengawasan hanya mendedahkan lebih ramai orang dengan poster-poster politikal, karya-karya protes dan idea-idea perlawanannya menentang penindasan, ketidakadilan, dan korupsi pemerintah.

Oleh demikian, katanya adalah tidak bijak bagi polis bertindak tergesa-gesa dengan menangkapnya, berikutan laporan polis semalam yang dibuat kumpulan Gerakan Merah yang condong kepada Umno.

Gerakan Merah membuat laporan polis berhubung karya seni Fahmi yang memaparkan lakaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ‘bermuka badut’.

Lakaran itu kemudiannya dimuat naik oleh Ahli Parlimen, Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar di akaun media sosial, Instagram.

“Jika pihak tuan/puan mengambil langkah untuk mengambil tindakan terhadap saya, tuan/puan akan memberikan lebih banyak publisiti terhadap isu ini, dan lebih banyak perhatian terhadap saya dan hasil kerja saya.

“Tindakan tuan/puan akan mengundang lebih ramai pengguna media sosial untuk melawati laman Facebook saya, yang seterusnya akan mendedahkan mereka kepada lebih banyak poster-poster politikal, karya-karya protes dan idea-idea perlawanan yang telah saya hasilkan sepanjang 14 tahun saya bergiat dalam bidang aktivisme dan rekaan grafik protes.

“Situasi ini berpotensi untuk melahirkan lebih ramai individu-individu rebel dan lebih ramai aktivis-aktivis baru yang lebih sedar tentang hak asasi mereka dan tidak takut untuk bersuara melawan penindasan, ketidakadilan, dan korupsi pemerintah,” katanya dalam surat terbuka kepada pihak polis.

Surat terbuka turut dimuat naik ke laman Facebooknya.

Fahmi mendapat perhatian apabila polis memaklumkan bahawa anak muda itu sedang diawasi kerana memuat naik poster Najib ‘bermuka badut’ sebagai sebahagian daripada kempen anti-Akta Hasutan.

Lakarannya itu memberi ilham kepada lebih ramai individu yang tampil dengan versi mereka berhubung Najib ‘bermuka badut’ dan karya seni 'Kita Semua Penghasut'

“Saya akhiri surat saya ini dengan kata-kata Hukum Newton Ketiga, "For every action, there is an equal and opposite reaction," kata Fahmi.

Tiada ulasan: