Persatuan Penulis Nasional (PENA) akan mengadakan mesyuarat bagi melihat keperluan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemilihan novel Pantai Kasih sebagai teks Komponen Sastera (Komsas).
Setiausaha
Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata mesyuarat itu bagi
melihat sama ada terdapat bukti kukuh bahawa panel penilai Komsas itu
terlibat dengan rasuah.
"Setakat ni akan dibawa dalam mesyuarat AJK PENA.
Keputusan bergantung kepada keputusan mesyuarat yang melihat kepada
bukti yang kukuh," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum
ini PENA mendakwa naskah itu pada asalnya tidak tersenarai untuk
dipertimbangkan panel penilai. Bagaimanapun, novel itu hanya muncul di
peringkat akhir penilaian.
Mengulas lanjut katanya, kenyataan yang dibuat oleh pihak
PENA bukan menuduh sebaliknya hanya melihat kemungkinan jika terdapat
elemen rasuah.
"Kenyataan saya lebih kepada melihat keperluan 'jika ada'
unsur-unsur tersebut, maka meminta pihak kementerian mengambil langkah
membersihkan untuk mengelakkan sebarang spekulasi dan andaian," katanya.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama pena S M Zakir
berkata, sehingga kini PENA tidak menerima sekarang maklum balas dari
pihak kementerian pendidikan berhubung perkara tersebut.
Isu Pantai Kasih menjadi perhatian apabila pelbagai pihak
mempertikaikan kesesuaiannya untuk dijadikan bahan pembelajaran Komsas
tingkatan empat.
Selain kualiti sastera yang tidak cukup meyakinkan, dakwaan unsur lucah dalam novel itu juga tidak disenangi ramai.
Sebelum ini Syed berkata siasatan perlu diadakan kerana
hasil royalti naskah berkenaan didakwa tidak diberikan kepada penulis
sebaliknya penerbit novel berkenaan.
Beliau turut meminta Kementerian Pelajaran memastikan penulis novel itu sudah mendapat bayaran sepatutnya atau tidak.Malaysiakini sedang cuba menghubungi penulis novel tersebut, Azmah Nordin dan penerbit novel berkenaan bagi mendapatkan komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan