PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menasihatkan timbalan
presidennya, Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng agar tidak bercakaran sesama sendiri secara terbuka.
Azmin sebelum ini menegur Guan Eng yang bertindak menggugurkan dua ADUN
PKR daripada syarikat bukan kerajaan (GLC) di Pulau Pinang ekoran
hilang kepercayaan terhadap mereka.
Dua ADUN itu adalah antara lima wakil rakyat yang menjadi sasaran Guan
Eng selepas mereka tidak menyokong projek tebus tanah pinggir laut di
negeri itu, November lalu.
Tindakan Azmin kemudiannya dibidas Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau
Pinang itu mempersoalkan mengapa Menteri Besar Selangor itu mencampuri
pentadbbirannya.
"Saya rasa lebih baik adik beradik (Azmin dan Guan Eng) bincang dalam
bilik. Saya akan hantar surat rasmi kepada Guan Eng bagi pihak PKR.
Surat rasmi parti akan dihantar.
"Saya rasa apa juga berbezaan, sensitiviti umum kena ambil kira sebab
tidak ada kepimpinan yang utuh, kita kena berbalik kepada masyarakat.
Kalau tak masyarakat akan rasa bosan dan terkilan," kata Rafizi pada
sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Rafizi kemudiannya mempertahankan tindakan Azmin menyatakan bantahan terhadap keputusan Guan Eng.
"Saya faham apa yang berlaku. Guan Eng ditanya (pemberita untuk) bagi kenyataan. Bila ditanya (wartawan), kami kena jawab.
"Apabila Azmin pergi majlis dia (perlu) jawab. Saya rasa perkara ini
telah selesai. Dan secara rasminya, PKR akan hantar surat hari ini dan
saya harap apa pun, saya harap ia akan dibangkitkan kepada Pakatan
Harapan," katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR memberitahu pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada DAP bersabit isu itu.
Difahamkan surat berkenaan menuntut agar DAP menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung pemecatan dua ADUN itu.
"Surat (yang akan dihantar PKR) untuk bincangkan beberapa perkara
berhubung dengan keputusan kerajaan Pulau Pinang gugurkan dua adun PKR
daripada GLC.
"Saya rasa itu mungkin lebih baik kita bincang secara rasmi dan
timbulkan secara rasmi dan saya percaya Guan Eng akan bagi ruang
sebaiknya untuk kita berbincang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan