HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2016

Polis diminta siasat akhbar Selangorkini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KLANG: UMNO Klang mendesak polis mengambil tindakan terhadap akhbar Selangorkini yang didakwa menyebarkan fahaman politik dengan mengedarkannya di masjid sekitar daerah ini.
 
Ketua Penerangan UMNO Klang, Wan Mohamad Yusoff Wan Abdullah, berkata akhbar milik kerajaan negeri itu menerbitkan berita mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu sedangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kerap bertitah melarang masjid dijadikan tempat berpolitik.
 
"Kenapa perlu jadikan Selangorkini sebagai tempat sebarkan agenda politik? Sepatutnya isu kesalahan Anwar tidak perlu lagi dipertikaikan kerana sudah dibawa ke muka pengadilan.
 
"Lima panel hakim mendapati dia bersalah, maka tiada lagi isu perlu dipertikaikan. "Kami mendesak kerajaan negeri menghentikan penyalahgunaan akhbar yang menggunakan duit rakyat ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
 
Terdahulu, beliau mewakili UMNO Klang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Klang Selatan berhubung perkara itu.
 
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, pernah menyelar tindakan kerajaan Selangor mengedarkan akhbar Selangorkini di masjid seluruh negeri.
 
Berikutan itu, Noh meminta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil tindakan tegas jika PKR terus mengedarkan akhbar itu di masjid.
 
Sementara itu, dalam laporan polis sama, Wan Mohamad turut meminta polis menjalankan siasatan mengenai pemasangan papan iklan 'Bebaskan Rakyat Bebas Anwar' di kawasan Pelabuhan Klang, sejak sebulan lalu.
 
"Ia tidak sepatutnya dipasang kerana seolah-olah menghasut rakyat untuk tidak mempercayai ketelusan institusi kehakiman dan pentadbiran undang-undang negara," katanya.
 
 

Tiada ulasan: