HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2016

Tak tahu bila krisis MB Kedah akan tamat, kata Mukhriz

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
ALOR SETAR: "Saya tidak pasti bila krisis politik di Kedah akan tamat", demikian menurut Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Malah katanya setakat semalam masih belum ada keputusan rasmi mengenai jawatan yang disandangnya itu.
 
"Saya belum pasti kesudahan kemelut politik yang berlaku ini," kata Mukhriz kepada kira-kira 10,000 rakyat Kedah di Stadium Darul Aman di Alor Setar malam tadi.
 
Semalam, Jemaah Diraja Kedah belum membuat keputusan walaupun sudah berjumpa semua ADUN Barisan Nasional (BN).
 
Hari ini pihak Istana memanggil wakil rakyat pembangkang pula untuk menghadap didakwa mengenai isu yang sama.
 
Mukhriz mengambil kesempatan menyampaikan amanat khas dalam perlawanan persahabatan antara Kedah dengan Sungai Ara FC, berjanji untuk terus mentadbir kerajaan negeri selagi diperlukan rakyat.
 
"Tapi saya berjanji, selagi rakyat perlukan saya, selagi itu saya tetap setia bersama rakyat Kedah.
 
"Saya akan berusaha mengangkat martabat rakyat Kedah," kata Mukhriz yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Menteri besar penggal pertama itu berkata, tidak kisah dengan kesudahan dalam kemelut politik melanda Kedah dan berpesan, rakyat perlu mencari pemimpin yang berintegriti dan sanggup berjuang untuk masa depan mereka.
 
"Apa jua kesudahan, kita harus mencari pemimpin berintegriti," katanya.
 
Suasana dalam stadium bergemuruh sebaik sahaja Mukhriz turun padang dan orang ramai melaungkan "Hidup Mukhriz" dan "Kami nak Mukhriz" sebagai tanda sokongan kepada menteri besar sedang berdepan tekanan daripada pemimpin atasan Umno Kedah yang mendesaknya berundur.
 
Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Datuk Aminuddin Omar yang turut hadir dan berucap meminta rakyat Kedah memberi peluang kepada Mukhriz untuk terus mentadbir Kedah sehingga habis penggal.
 
"Berilah peluang kepada Datuk Mukhriz untuk terus mentadbir negeri sehingga habis penggalnya," kata Aminuddin yang juga pengikut setia Mukhriz.
 
Semalam, semua ADUN Barisan Nasional (BN) menghadap 3 ahli Jemaah Diraja Kedah yang terdiri daripada pengerusinya, Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
 
Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas sidang media diadakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu.
 
 

Tiada ulasan: