PENAMPANG: Polis Sabah menafikan sudah menggerakkan anggotanya untuk
operasi khas bagi mengesan kumpulan militan atau pengganas di negeri
ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata semua operasi
yang dijalankan ketika ini hanyalah pergerakan biasa bagi pencegahan
jenayah.
"Jangan percaya khabar angin khususnya yang menjadi viral di media
sosial, ia hanya pergerakan biasa pihak polis, ...jika ada sesuatu
berlaku (membabitkan kumpulan militan atau pengganas) kami akan
beritahu," katanya selepas melancarkan Op Selamat sempena Tahun Baru
Cina di Donggongon, di sini, pagi tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari
Em Hadzeer dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Rosley
Hodben.
Abd Rashid berkata, tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan khabar
angin kononnya beberapa daerah di negeri ini menjadi sasaran pengganas
adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
"Saya juga minta orang ramai supaya tidak panik dan percaya dengan
khabar angin berkenaan, jika menerimanya, tanya dengan pihak berkuasa
untuk mendapatkan kepastian," katanya.
Hari ini, ada mesej disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp kononnya Kota
Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu menjadi sasaran kumpulan militan IS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan