KUALA TERENGGANU,  Gempa bumi lemah yang berlaku di kawasan Empangan Tasik Kenyir, malam tadi, berpunca daripada tekanan dihasilkan air di dalam empangan itu.


Timbalan Ketua Pengarah Strategi dan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas berkata, daya yang terhasil daripada air dalam empangan itu, menyebabkan batu-batan di sekitar empangan melepaskan tenaga dan menghasilkan gegaran kecil itu.

“Ini bukan kali pertama gegaran kecil berlaku di kawasan empangan berkenaan.

“Malah, gegaran yang berlaku semalam adalah yang ke-27, selepas gegaran kali pertama berukuran 4.6 pada skala Richter berlaku di kawasan berkenaan pada 1984.

“Sehubungan itu, penduduk setempat tidak perlu risau, kerana ia hanya gegaran lemah yang tidak akan memberi kesan kepada kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir dan gegaran boleh dirasai di Kuala Berang pada jam 9.25 malam tadi.

Pusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16 kilometer barat daya dari Kuala Berang.

Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.
Ditanya sama ada kemungkinan gegaran kecil tersebut akan berulang, Rosaidi berkata, ia mungkin berlaku lagi, tetapi tidak dalam masa terdekat.

“Keadaan sekarang adalah terkawal, tetapi gegaran mungkin berlaku lagi, tetapi bukan dalam masa sekarang, mungkin ia akan berlaku dalam masa setahun dua ini,” katanya.

Jelasnya, walaupun berlaku gegaran pada skala lebih tinggi, ia tidak akan mencetuskan tsunami, kerana ia (tsunami) hanya berlaku di kawasan lautan.

“Saya pasti pihak yang menyelenggara empangan mempunyai pelan tindakan yang khusus, bagi memastikan semua keadaan terkawal dan penduduk sekitar adalah selamat, sekiranya gegaran melanda kawasan tersebut,” katanya.