HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Oktober 2016

Tiada bekalan air: Rakyat bosan permainan tidak bertamadun kerajaan negeri

 
 
Mohd Sani Ahiar
Mohd Sani Ahiar
 
 
Kesal dengan sikap kerajaan negeri sudah tidak boleh diungkap lagi apabila ditanya tentang masalah air di kawasan Semenyih yang rata-rata penduduk menyifatkannya sebagai tiada jalan penyelesaian.
 
"Tahun ini sahaja, sudah lebih tujuh kali kami penduduk di Semenyih terpaksa melalui hidup tanpa air yang benar-benar menyusahkan hidup kami.
 
"Paling teruk, air yang dicatu biasanya dibuat secara mengejut tanpa memberitahu penduduk dan inilah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor," kata Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Teknologi, Mohd Sani Ahiar ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette di Semenyih tengahari tadi.
 
Katanya, seluruh penduduk di kawasannya sudah bosan dengan ‘permainan’ tidak bertamadun kerajaan negeri yang sentiasa memberi alasan tidak masuk akal kepada penduduk setiap kali air dicatu.
 
"Air disalur dua minggu, kemudian ditutup semula selama seminggu dan alasan yang diberi adalah berlaku pencemaran pada loji air.
 
"Kalau sekali dua alasan tersebut diberi, mungkin kami boleh terima tetapi kalau dah sampai tujuh kali, kami rasa kerajaan negeri tidak bertindak apa-apa pun untuk menangani maslaah pencemaran yang dihebahkan," ujarnya.
 
Menurut Mohd Sani, kerajaan negeri sepatutnya bijak menangani permasalahan air di Semenyih kerana air adalah keperluan asas manusia.
 
"Air yang dibekalkan melalui tangki tidak pernah mencukupi tetapi kerajaan negeri tak ambil peduli sedangkan ia boleh ditangani.
 
"Maaf cakaplah, kalau saya katakan di sini cara layanan yang diberi oleh kerajaan negeri kepada penduduk di Semenyih tak ubah seperti mendera rakyat," katanya.
 
 Jamal Abdul Karim
 
Seorang lagi penduduk, Jamal Abdul Karim berkata, walaupun air tidak ada di kawasannya, bil yang diterima tetap mencatatkan penggunaan air.
 
"Bukan berkurang malah bertambah setiap bulan walaupun kami tak pakai banyak air. Kata orang, bil berjalan sebab angin dalam paip tetapi apakah wajar kami dikenakan bayaran pada air yang tidak digunakan?
 
"Kami sebenarnya amat kecewa dengan kerajaan negeri tetapi apa lagi yang boleh kami buat? Pernah juga kami ambil air di kawasan yang ada air seperti di kawasan rehat lebuh raya tetapi disaman oleh pihak terbabit," jelasnya.
 
Zuhairy Abdul Karim
 
Bagi Zuhairy Abdul Karim dari Beranang, kerajaan negeri sepatutnya meletakkan tangki-tangki besar yang dipenuhi air di setiap taman perumahan bagi menangani masalah air yang sering melanda kawasan Semenyih.
 
"Mungkin perlukan perutukan yang besar tetapi sekurang-kurangnya, rakyat tidak perlu berhadapan dengan masalah ketiadaan air.
 
"Tangki-tangki itu sebagai simpanan yang boleh digunakan setiap kali berlakunya krisis air," katanya.
 
Zuhairy berharap, kerajaan negeri tidak terus berdalih atau memberi alasan terhadap krisis air, sebaliknya mencari jalan penyelesaian secepat mungkin kerana rakyat sudah lama menderita setiap kali air dicatu. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: